JOHOR BAHRU: Ibu kepada salah seorang pempengaruh yang terlibat memberi sisa makanan sebagai sedekah kepada seorang gelandangan mendakwa anaknya diberi layanan tidak wajar ketika ditahan pihak berkuasa.
Dia yang hanya mahu dikenali sebagai Wong memberitahu, mereka hadir ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 10 pagi Selasa lalu selepas menerima panggilan daripada pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).
“Walau bagaimanapun, kami dimaklumkan terdapat laporan polis dibuat di IPD Seremban, dan ketiga-tiga remaja terlibat akan dibawa ke sana untuk membantu siasatan. Dalam tempoh itu, anak saya telah ditukarkan pakaian lokap dan turut digari. Dia juga telah ditempatkan bersama suspek lain yang tidak dikenali dalam lokap,” katanya ditemui pemberita, di sini hari ini.
Anaknya yang berusia 14 tahun kemudian diminta menukar semula pakaian asal sebelum kenderaan yang akan membawa mereka ke Seremban tiba kira-kira pukul 11 malam.
“Sepanjang perjalanan, anak saya juga tidak dibenarkan tidur dan tidak diberi makanan atau minuman,” katanya yang mengakui akan memberikan kerjasama baik dalam siasatan pihak berkuasa.
Mereka sekeluarga mengakui tindakan anak lelakinya dan dua rakannya menghasilkan video sedemikian adalah salah dan tidak sepatutnya dilakukan.
“Cuma saya tidak faham bagaimana sesi soal siasat untuk membantu siasatan sehingga anak saya ditahan dan digari. Adakah layanan ini wajar, tidakkah ia melanggar hak asasi kanak-kanak di negara ini,” soalnya.
Semalam, Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din memaklumkan, ketiga-tiga remaja lelaki termasuk seorang juvana itu telah dibebaskan dengan jaminan polis, kelmarin.
Kes disiasat di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955
Minggu lalu, tular video berdurasi kurang seminit memaparkan tiga remaja lelaki menikmati juadah ayam goreng sebelum meletakkan sisa tulang ke dalam bungkusan nasi dan menyerahkannya kepada seorang lelaki gelandangan. – UTUSAN










