KUALA LUMPUR: Jeritan seorang pemuda berjaya menyelamatkan rakan serumahnya daripada menjadi mangsa kebakaran selepas 14 rumah setinggan di Jalan Pantai Dalam di sini terbakar, malam tadi.
Wan Mazlan Wan Majid, 45, berkata, sebelum kejadian dia sedang berehat dalam bilik selepas pulang bekerja.
Katanya, ketika cuba melelapkan mata, dia tersentak kerana terdengar jeritan rakan serumahnya supaya menyelamatkan diri.
“Semasa berehat dan hampir terlelap, tiba-tiba rakan rumah jerit beritahu ada api. Awalnya ingatkan macam elektrik short (litar pintas) sahaja.
“Mujur saya tidak kunci pintu bilik saya, kalau tidak memang saya tidak dengar kawan panggil,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Rendah Agama Al-Khawarizmi hari ini.
Wan Mazlan berkata, dia hanya sempat mengambil beberapa barang peribadi seperti kad pengenalan dan telefon bimbit sebelum api menjadi lebih marak.
Kata pengawal keselamatan itu, dia reda kerugian ribuan ringgit daripada mengalami kecederaan.
“Harap pihak berwajib dapat menghulur bantuan sebaiknya,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Nik Maliki Nik Him, 41, berkata, dia dimaklumkan tentang kebakaran itu semasa berada di Cheras selepas dihubungi rakan kira-kira pukul 11.30 malam.
Katanya, dia menanggung kerugian puluhan ribu ringgit apabila barangan elektrik, wang tunai serta koleksi keris antiknya terbakar.
“Saya ada simpan koleksi 150 bilah keris sejak kecil. Ada yang harga RM3,000 dan paling mahal dalam RM25,000, semuanya rosak. Barang-barang ini sukar hendak cari semula.
“Semasa kejadian tiada penghuni di rumah, mujur ibu saya telah pulang ke kampung di Kelantan,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuala Lumpur, Kapten (PA) Mohamad Aminullah Zulkafly berkata, kebakaran menyebabkan kerosakan 15 rumah dan kedai.
“Mangsa terdiri daripada 66 tempatan dan lapan warga asing dan ada di kalangan manga terdiri daripada kanak-kanak, bayi dan warga emas,” katanya.
Semalam, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan melalui talian MERS 999 pada pukul 11.11 malam sebelum pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pantai, BBP Hang Tuah, BBP Seputeh dan BBP Sri Hartamas dikejarkan ke lokasi.
Kebakaran memusnahkan sebahagian besar kawasan rumah setinggan dengan keluasan anggaran 100 kali 80 kaki persegi.
Kebakaran turut merebak ke empat buah premis kedai berhampiran. – UTUSAN







