Isu doktor kontrak: Sistem SPA perlu 'dibaik pulih' - Utusan Malaysia

Isu doktor kontrak: Sistem SPA perlu ‘dibaik pulih’

PROTES yang dilakukan oleh doktor kontrak Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu pada tahun lalu. SPA memaklumkan akan meneliti semula permohonan doktor kontrak tersebut selepas permohonan kumpulan itu dikatakan ditolak kerana isu teknikal. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kerajaan melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) perlu memperbaiki sistem pengambilan kakitangan supaya selari dengan peredaran masa dan tidak menghadapi masalah teknikal berulang kali.

Jurucakap Hartal Doktor Kontrak, Dr. Muhammad Yassin berkata, sistem penyerapan doktor kontrak ke jawatan tetap melalui laman sesawang SPA tidak menggambarkan negara menuju ke fasa kemajuan.

Jelasnya, aplikasi permohonan itu juga tidak menggambarkan SPA sebuah perbadanan nombor satu yang mewakili sektor pekerjaan awam.

“Ada kumpulan doktor kontrak menghadapi isu permohonan ditolak atas alasan dokumen disertakan tidak lengkap walaupun hakikatnya sudah lengkapkan perkara diminta.

“Ini disebabkan masalah teknikal sistem yang dilihat mundur, mereka (kerajaan) boleh buat lebih baik. Saya harap sistem dalam talian dapat diperbaiki segera,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Terdahulu, sekumpulan doktor kontrak menuntut jawapan penolakan permohonan untuk diserap ke jawatan tetap.

Namun SPA memaklumkan akan meneliti semula permohonan tersebut selepas permohonan kumpulan itu dikatakan ditolak kerana isu teknikal se­perti gagal menyenaraikan butiran Majlis Perubatan Malaysia (MMC) yang diminta.

Oleh itu, Dr. Muhammad berharap ‘isu teknikal’ tersebut di­selesaikan segera kerana khuatir ia akan memberi kesan secara tidak langsung kepada sistem kesihatan negara dan kemungkinan mampu membawa kerencatan sistem berkenaan.

“Saya harap perkara ini boleh diselesaikan segera dan proses penyerapan dilakukan secara lancar supaya dapat memberi keyakinan kepada pengumuman menteri bukan omong kosong tetapi serius mahu selesaikan isu ini.

“Bila jadi seperti ini secara tidak langsung banyak doktor kontrak akan merasakan diri mereka ditipu hingga mengganggu motivasi mereka untuk menjalankan tugas.

“Jika berlarutan ia akan merencatkan sistem kesihatan apabila kumpulan tersebut mula merasakan kerajaan tidak bersungguh-sungguh jadi mereka akan berhenti atau memasuki sektor swasta,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN