Hujan air batu turun di Segamat

Hujan air batu turun di Segamat

KETULAN berwarna putih dipercayai hujan air batu yang melanda beberapa kawasan di Buloh Kasap, Segamat, petang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEGAMAT: Sebahagian besar penduduk di kawasan Buloh Kasap, di sini terkejut apabila melihat objek berwarna putih jatuh dari langit dan mengeluarkan bunyi bising apabila terkena zink bumbung rumah dalam kejadian semalam. 

Menurut salah seorang penduduk, Rashid Abdul Rahman, 45, objek putih sebesar ibu jari dipercayai hujan air batu terbabit turun menghujani kawasan rumahnya lewat petang semalam. 

“Saya amat bimbang sekiranya hujan air batu itu berlarutan mungkin bumbung rumah pun boleh bocor dan rosak. Perasaan cemas dan bimbang masih terasa sehingga sekarang,” katanya ketika ditemui hari ini. 

Kejadian hujan air batu yang melanda beberapa kawasan daerah ini dilaporkan berlaku antara pukul 7.45 malam hingga pukul 8 malam tadi.

Sewaktu kejadian, angin kencang, disertai hujan lebat dan petir sehingga menimbulkan rasa bimbang dalam kalangan penduduk.

Difahamkan fenomena hujan air batu atau ketulan seperti ais adalah kejadian biasa di kebanyakan negara yang terletak pada Garisan Khatulistiwa.

Ia tidak boleh memberi kesan terhadap perubahan cuaca secara umumnya kerana hanya berlaku pada keadaan tertentu sahaja, namun kejadian hujan air batu di sekitar Buloh Kasap itu dipercayai pertama kali berlaku di kawasan tersebut. 

Sementara itu, Asmah Mohd. Johari, 53, berkata, dia kali pertama melihat kejadian hujan air batu yang menyebabkannya runsing dari segi keselamatan keluarganya.

“Mujurlah ia cuma berlaku tidak lama. Tiada perkara buruk berlaku kerana kebetulan kami sekeluarga berada dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Taman Yayasan, Segamat hari ini.

Sementara itu, seorang mekanik, Tan Chin Hoe, 49, berkata hujan air batu sebesar guli itu melanda kawasan taman perumahannya di sini selama kira-kira 15 minit.

“Sepatutnya saya hendak keluar membeli makanan menaiki motosikal di sebuah restoran berhampiran. Namun membatalkannya sebaik hujan air batu mula mengenai topi keledar yang saya pakai.

“Paling mengejutkan ketulan ais sebesar guli dibawa bersama angin kencang beserta hujan lebat dan guruh. Bimbang kejadian tidak diingini berlaku, saya mengambil keputusan untuk tidak keluar rumah semalam,” kongsinya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN