AGC serah semula laporan, arah polis lengkapkan siasatan

Zara Qairina: AGC serah semula laporan, arah polis lengkapkan siasatan

MOHD. Dusuki Mokhtar
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan siasatan awal kematian pelajar, Zara Qairina Mahathi, 13, te­lah di­serahkan semula kepada pihak polis untuk dilengkapkan, semalam.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd. Dusuki Mokhtar berkata, sebarang keputusan sama ada untuk mendakwa sesiapa atau mengarahkan agar inkues dilakukan akan diputuskan selepas siasatan benar-benar telah dilengkapkan.

“Kita telah menyerahkan semua laporan kepada pihak polis semalam. Kita sudah bagi arahan tertentu, makna­nya ada beberapa perkara yang perlu kita kumpulkan (compile) semula.

“Selepas arahan yang diberikan telah disempurnakan dan siasatan benar-benar lengkap, baru kita (Jabatan Peguam Negara) akan memutuskan sama ada akan mendakwa sesiapa atau mengarahkan agar inkues dilakukan,” kata ketika ditemui media selepas tamat Majlis Meraikan Pelantikan Ketua Hakim Negara di Istana Kehakiman di sini semalam.

Ditanya mengenai arahan untuk melengkapkan isu, Mohd. Dusuki enggan memberikan pe­rinciannya.

“Kalau tanya saya mengenai arahan atau isu, saya tidak boleh beritahu sekarang.

“Ada beberapa perkara tetapi saya tidak boleh dedahkan sekarang. Tunggu sehingga siasatan selesai, baru kita akan buat kenya­taan,” katanya.

Zara Qairina, pelajar tingkatan satu di sebuah sekolah di Papar, Sabah, ditemukan tidak sedarkan diri dalam longkang selepas didakwa terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolah pada 4 pagi, 16 Julai lalu.

Dia disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) pada pukul 11 pagi, 17 Julai lalu dan kes kematian pelajar berkenaan tular serta menimbulkan pelbagai reaksi masyarakat di media sosial.

Pada 4 Ogos lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail dilaporkan telah menyerahkan kertas siasatan berhubung kematian Zara Qairina yang dikaitkan dengan dakwaan buli kepada AGC.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun turut dilaporkan telah memaklumkan kertas siasatan telah dibawa ke Bukit Aman untuk perhatian dan penelitian akhir sebelum dirujuk ke Jabatan Peguam Negara.

Jauteh turut dilaporkan berkata bahawa seramai 60 individu termasuk tiga nama didedahkan di media sosial, iaitu ‘Kak Wana, Kak Dedeng dan tomboi’ telah diambil keterangan bagi membantu siasatan kematian Zara Qairina.

Menurut laporan, pegawai polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur buli dalam kejadian tersebut dan turut menyatakan siasatan menjurus kepada dua elemen iaitu punca kepada kematian dan juga persekitaran. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×