Hujah pendakwaan, saksi sabit motif bunuh tidak jelas

Hujah pendakwaan, saksi sabit motif bunuh tidak jelas

SAMIRAH Muzaffar ketika hadir di Mahkamah Tingi Shah Alam - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hujah pendakwaan dikatakan tidak mempunyai motif jelas dan kenyataan daripada 57 saksi pendakwaan tidak memberi petunjuk untuk mensabitkan Samirah Muzaffar dan anak-anaknya terhadap pembunuhan Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund, Nazrin Hasan.

Peguam yang mewakili mereka, Rahmat Hazlan berkata, hujahan dan keterangan yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan disifatkan sebagai bercelaru.

“Kami mendedahkan saksi-saksi pendakwaan adalah tidak credible, kenyataannya tidak selari dan berat sebelah. 

“Selepas 57 saksi dan lebih tiga tahun bicara, pihak pembelaan menghujahkan kes prima facie tidak dapat dibuktikan terhadap tertuduh, secara individu atau bersama,” katanya ketika berhujah pada akhir pendakwaan.

Balu Nazrin, Samirah, 47, dan dua anaknya, kini berusia 19 dan 16 tahun, serta wanita warga Indonesia yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, yang kesemuanya didakwa membunuh Nazrin di rumahnya di Mutiara Damansara, antara 11.30 malam 13 Jun lalu  , 2018, dan 4 pagi keesokan harinya.

Bagaimanapun, beliau menjelaskan pembelaan menunjukkan bukti yang tidak dapat dipertikaikan bahawa tertuduh dan arwah suaminya mempunyai hubungan baik sehingga ke akhir hayat seperti yang terbukti dalam majlis berbuka puasa keluarga pada 13 Jun 2018.

“Samirah dan arwah turut pergi membeli-belah bagi persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri pada 11 dan 13 Jun 2018,” katanya.

Tambah Rahmat, pada 14 Jun 2018, polis bersama unit K-9 selesai mengambil bukti di tempat kejadian sebelum Samirah dibenarkan kembali masuk ke bilik dan rumahnya.

“Seorang pakar patologi kanan Dr. Siew Sheue Feng yang juga saksi pendakwaan ke-46 (SP46) dan pasukannya (doktor) mendapati terdapat kecederaan pada mayat seperti diakibatkan oleh letupan dan dalam masa sama pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) mengesahkan terdapat letupan telefon bimbit. Polis kemudian mengklasifikasikan tragedi tersebut sebagai ‘mati mengejut’.

“Namun, Pegawai Sains JBPM, Aznor Sheda Shamsuddin (SP14) menerusi penilaian dalam makmal dengan kaedahnya tersendiri tiada pengesahan daripada pihak lain atau mematuhi sebarang piawaian serta prosedur operasi standard (SOP) terhadap pengesanan kandungan petrol pada tiga sampel yang didakwa diambil dalam bilik terbabit,” jelasnya.

Kata Aznor lagi, penemuan petrol yang didakwa olehnya tidak disemak oleh pegawai daripada Jabatan Kimia dan hal itu menyebabkan insiden tersebut diklasifikasikan sebagai pembunuhan. Justeru, penilaian tersebut dianggap cuai dan salah.

“Sekiranya ada petrol, mestilah dua ekor anjing unit K-9 dapat menghidu sedikit pun kesan petrol, sementara Jabatan Kimia pula akan menemui petrol dalam beberapa sampel yang dihantar dan lima doktor di Hospital Kuala Lumpur juga akan terhidu petrol semasa bedah siasat dilakukan pada hari itu.

“Dr Siew berulang kali memberi keterangan bahawa hanya letupan boleh menjelaskan semua kecederaan. Sementara pakar patologi kedua, Dr Prashant Naresh Samberkar (SP50) menjelaskan kecederaan pada mayat yang reput dan keterangannya di mahkamah dikelirukan dengan penemuan tidak logik dan berat sebelah,” katanya.

Hujah Rahmat lagi, beliau mendakwa secara keseluruhan, teori dikemukakan pihak pendakwaan tidak masuk akal.

“Mereka (pendakwaan) kata tertuduh mahu menghapuskan bukti, tetapi mayat tidak ditemui di atas katil yang terbakar.  Tak masuk akal untuk meninggalkan mayat di atas lantai jika niat anda untuk memusnahkan bukti, sepatutnya mayat dibakar atas katil.

“Pendakwaan pula mengatakan terdapat banyak kesan darah di atas katil yang menjadi sebab katil terbakar, tetapi tiada bukti ada darah di atas katil,” jelasnya.

Sementara itu, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan pembelaan turut mempersoalkan perburuan bekas pembantu rumah mereka, Eka yang dikatakan ada bersama-sama tertuduh tetapi tidak pernah cuba menahannya walaupun polis mempunyai beberapa peluang untuk berbuat demikian.

“Asisten Superintenden (ASP) Mohd Nizam Daud yang juga pegawai penyiasat  bersetuju bahawa polis tidak menjalankan siasatan secara menyeluruh terhadap wanita warga Indonesia itu dalam pemeriksaan balasnya.

“Apa yang terbukti dan tidak dapat dipertikaikan ialah Eka sebenarnya bekerja dekat sebuah kopitiam di Kuching, Sarawak, tetapi polis tidak tangkap.  Mohd. Nizam akhirnya mengakui polis tidak pernah serius dalam meneruskan kes terhadap orang gaji itu,” katanya.

Hakim Mahkamah Tinggi, Ab. Karim Ab. Rahman kemudian menangguhkan prosiding dan menetapkan hujahan di pihak pendakwaan pula bersambung esok. –UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN