fbpx

Heidy Quah dilepas tanpa dibebaskan, pertuduhan cacat

HEIDY Quah Gaik Li (kiri) hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur berhubung kes membuat komunikasi jelik berkaitan dakwaan penganiayaan pelarian di pusat tahanan Imigresen. - UTUSAN/NORLIZAH ABAS

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas tanpa membebaskan (DNAA) aktivis wanita, Heidy Quah Gaik Li daripada pertuduhan membuat komunikasi jelik berhubung dakwaan penganiayaan pelarian di pusat tahanan Imigresen.

Hakim M.M Edwin Paramjothy memutuskan demikian selepas membenarkan bantahan awal yang dikemukakan oleh peguam New Sin Yew yang mewakili Heidy Quah selaku Orang Kena Saman (OKS).

Mahkamah berpuas hati pertuduhan terhadap Heidy Quah, 28, yang juga pengasas Refuge for the Refugees, adalah cacat.

Sehubungan itu, Edwin melepas tanpa membebaskan wanita tersebut daripada pertuduhan manakala wang jaminan RM2,000 dikembalikan.

Sementara itu, Sin Yew memberitahu pihak media selepas prosiding bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guamnya kekurangan inti pati yang diperlukan serta gagal mematuhi takrifan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Beliau berpendapat, pertuduhan yang dikenakan terhadapnya tidak mematuhi Seksyen 152 hingga Seksyen 154 Kanun Tatacara Jenayah.

Jelas peguam tersebut, jika perbicaraan diteruskan, anak guam beliau akan berada dalam keadaan tertanya-tanya bentuk pertuduhan yang dikenakan terhadapnya dan tindakan itu merupakan satu penyalahgunaan mahkamah.

Pada peringkat ini, perbicaraan masih belum bermula manakala Timbalan Pendakwa Raya Najihah Farhana Che Awang hadir bagi pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan, Heidy Quah didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain melalui Facebook dengan menggunakan nama profil ‘Heidy Quah’.

Hantaran itu dibuat pukul 5.30 pagi pada 5 Jun 2020 yang kemudian dibaca pada 10 Jun pukul 3.30 petang di Pejabat Bahagian Pengurusan Depot dan Tahanan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama.

Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pada Julai 2020, media melaporkan Heidy Quah dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya berhubung hantaran di Facebooknya berkaitan dakwaan penganiayaan terhadap pelarian di pusat tahanan Imigresen. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Menarik di Kosmo!