KUALA LUMPUR : Hanya 10 peratus daripada lebih 9,000 anggota dan pegawai polis bagi Kontinjen Kuala Lumpur yang dibenarkan bercuti bagi meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri ini.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, penguatkuasaan dan pemantauan termasuk melibatkan Op Selamat dan Ops Pencegahan Jenayah akan dijalankan seperti biasa.
“Jumlah keseluruhan anggota dan pegawai polis bagi Kuala Lumpur dan Putrajaya berjumlah keseluruhan lebih 9,000 dan untuk Kuala Lumpur sahaja terdapat kira-kira 670 anggota dan pegawai.
“Untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri ini hanya 10 peratus yang dibenarkan bercuti manakala selebihnya akan bertugas seperti biasa,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Op Selamat di Balai Trafik Kuala Lumpur di sini hari ini.
Mengulas lanjut, kata beliau, masyarakat turut diingatkan agar sentiasa menjaga keselamatan diri dan harta benda sebelum dan ketika pulang ke kampung.
“Paling penting yang perlu dilakukan adalah masyarakat perlu mengisi borang maklumat pulang kampung dan serahkan kepada polis.
“Selain itu, pastikan ketiadaan kita di rumah, dimaklumkan juga kepada jiran-jiran berhampiran yang mana tidak pulang ke kampung, sekaligus memastikan ketiadaan kita diketahui jiran tetangga,” jelasnya.
Dalam pada itu, Azmi turut menasihatkan orang ramai agar terus memastikan usaha untuk memastikan wabak Covid-19 ini dapat diberikan kerjasama oleh semua pihak.
“Memang benar beberapa kelonggaran telah diberikan, namun saya harap kita jangan leka, kekalkan jarak dan segala usaha bersama untuk pastikan penularan wabak Covid-19 ini dapat ditangani,” katanya. –UTUSAN