Hantar guru bahasa Melayu ke Cape Town, Sri Lanka - Utusan Malaysia

Hantar guru bahasa Melayu ke Cape Town, Sri Lanka

ARIPIN SAID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUANTAN: Kerajaan disaran menghantar guru ke Cape Town dan Sri Lanka bagi membantu perkembangan bahasa Melayu di negara itu sekali gus mempelopori usaha mengangkat bahasa tersebut sebagai bahasa ASEAN.

Ini kerana difahamkan, terdapat kira-kira satu juta komuniti Melayu di Cape Town dan 200,000 di Sri Lanka yang tidak pernah belajar bahasa Melayu sebaliknya hanya berkembang bebas dalam kalangan komuniti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pejuang Bahasa Melayu, Prof. Datuk Dr. Aripin Said berkata, perkembangan bahasa Melayu di Cape Town dan Sri Lanka akan membantu memartabatkan bahasa itu di peringkat ASEAN dan antarabangsa.

“Saya percaya, jika ini dilaksanakan oleh kerajaan, ramai guru bahasa Melayu terutama yang sudah berpencen mahu ke Cape Town dan Sri Lanka bagi menjadi tenaga pengajar di sana.

“Tempoh masa tidak perlu lama, dalam setahun sudah mencukupi bagi mengajar sekali gus mengembangkan bahasa Melayu di Cape Town dan Sri Lanka,” katanya di sini semalam.

Kelmarin, Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr. Rais Yatim berkata, cadangan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN seharusnya diberikan pertimbangan sewajarnya oleh semua pihak termasuk Indonesia.

Rais berkata, bahasa itu adalah asas etnik serantau berstatus lingua franca, malah bahasa Indonesia yang digunakan 250 juta penduduknya didasari bahasa Melayu.

Mengulas lanjut, Arifin berkata, beliau setuju dengan kenyataan Rais itu, cuma pokok pangkalnya adalah gerakan ke arah pemerkasaan bahasa Melayu.

“Kita perlu memulakan di peringkat ASEAN dan antarabangsa. Saya yakin negara lain nanti akan bersetuju dengan tindakan Malaysia.

“Selain menghantar guru bahasa Melayu ke Cape Town dan Sri Lanka, ucapan, surat menyurat membabitkan segala urusan di ASEAN dan antarabangsa perlu dalam bahasa Melayu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah pun memulakannya, kita perlu teruskan dan tidak perlu tunggu siapa setuju ataupun tidak,” katanya.

Beliau berkata, cuma apa yang menjadi masalah ketika ini pengguna bahasa Melayu di negara ini pun lintang-pukang.

“Tidak ada jiwa patriotik dan khianat kepada bahasa ini tanpa sedar.

“Jadi, sudah sampai masanya Akta Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dipinda dan diperkasakan,” tegasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya