Farah kekal cara tradisi bakar roti 1957 - Utusan Malaysia

Farah kekal cara tradisi bakar roti 1957

FARAH Nadia Abdul Ghafoor (kanan) menunjukkan roti yang dibakar menggunakan kayu yang telah siap diproses di Lorong Masjid, Kampung Bahagia di Teluk Intan. - UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Ketika ramai peniaga beralih menggunakan pelbagai peralatan moden, seorang wanita meneruskan perusahaan membuat roti bakar dengan menggunakan cara tradisional yang diasaskan oleh arwah bapanya sejak 1957.

Farah Nadia Abdul Ghafoor, 33, masih menggunakan kayu untuk membakar roti di Lorong Masjid, Kampung Bahagia di sini dan menjadi satu-satunya yang kekal dengan cara itu di Hilir Perak.

Katanya, dia memilih untuk meneruskan kaedah pembakaran yang digunakan oleh arwah bapanya kerana mahu mewarisi kaedah turun-temurun supaya rasa roti yang dihasilkannya lebih sedap berbanding pembakaran kaedah moden.

“Bengkel Roti Bakar Ghafoor ini diasaskan pada 1957 oleh bapa saya. Apabila dia meninggal dunia tahun lepas, saya membuat keputusan meneruskan perniagaan ini.

“Saya membina semula perniagaan ini dengan bermodalkan pinjaman sebanyak RM20,000 di bawah program Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) cawangan Teluk Intan. Perniagaan kami masih bertahan kerana menggunakan cara ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia.

Mengenai proses pembakaran, Farah Nadia berkata, roti yang hendak dibakar, dimasukkan ke lubang dapur khas yang mempunyai bara kayu api.

Katanya, proses pembakaran yang betul akan menghasilkan roti yang mempunyai aroma yang enak dan garing.

“Menggunakan kayu sebagai bahan bakar, ia akan menghasilkan tekstur roti yang lembut, rasanya enak apatah lagi jika dinikmati ketika masih panas, baru keluar dari lubang dapur kayu, sesiapa sahaja pasti akan berselera apabila menghidu aroma roti yang dibakar dengan kayu ini,” katanya.

Menurutnya, setiap hari dia menghasilkan antara 2,000 hingga 3,000 biji roti bakar yang dipasarkan di negeri ini dan Kuala Lumpur.

Katanya, dia menghasilkan tiga perisa roti bakar iaitu berintikan kaya, kacang merah dan kelapa pada harga berharga antara RM1 hingga RM6, dan dikenakan caj penghantaran bergantung kepada jarak penghantaran.

“Selain di Perak, kami juga mempunyai pelanggan tetap di Kuala Lumpur dan Selangor yang akan membuat tempahan dalam skala besar selepas merasai keenakan roti dibakar dengan kayu yang mereka beli semasa berkunjung ke sini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN