BAGAN SERAI: Penantian selama 10 tahun sebuah keluarga asnaf di sini untuk memiliki rumah sendiri bakal menjadi kenyataan tidak lama lagi.
Keluarga itu akan memiliki sebuah rumah sendiri yang dibina Baitulmal di atas tanah yang diwakafkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol yang juga exco kerajaan negeri, Razman Zakaria di Kampung Alor Singa di sini.
Tanah seluas 1.33 hektar itu dibeli oleh Razman pada harga RM120,000 dan kemudiannya wakafkan kepada asnaf, fakir dan miskin dan mereka yang tidak mempunyai tanah untuk membina rumah.
Tanah yang dibeli Razman itu boleh dibina kira-kira 200 buah rumah dan pemilihan mereka yang layak mendapat lot tapak rumah adalah melalui Baitulmal yang meluluskan pembinaan rumah. Sebuah daripada keluarga yang menerima satu lot di tanah itu bersyukur kerana impian untuk membina rumah sendiri bakal tercapai.
Ketua keluarga tersebut, Ahmad Gani, 55, berkata, dia dan ahli keluarganya sememangnya amat berharap untuk mempunyai sebuah rumah sendiri untuk keselesaan mereka sekeluarga.
Katanya, sebelum ini dia telah memohon bantuan membina rumah melalui Baitulmal dan telah diluluskan namun tidak dapat diteruskan dia tidak mempunyai tapak rumah.
“Selama ini kami sekeluarga menumpang di rumah saudara. Sudah 10 tahun menumpang, tentunya saya rasa malu. Saya perlu menyediakan kediaman yang selesa sekurang-kurangnya ada tiga bilik supaya dapat mengasingkan tempat tidur tiga anak lelaki dan tiga anak perempuan yang semakin membesar,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurutnya, rumah baharu yang akan dibina itu dibuat oleh Baitulmal manakala tapak rumah adalah pemberian Razman yang terletak di Kampung Alor Singa dekat sini.
“Rumah baharu kami dijangka siap sebelum penghujung tahun ini,” katanya.
Sementara itu, Razman berkata, dia membeli tanah seluas 1.33 hektar pada harga RM120,000 di Kampung Alor Singa di sini dan diwakafkan kepada golongan asnaf, fakir dan miskin yang tidak mempunyai tanah agar mereka dapat membuat rumah kediaman sendiri.
Menurutnya, kebanyakan asnaf dalam kawasan DUN Gunung Semanggol tidak mempunyai tanah sendiri menyebabkan mereka menumpang di atas tanah milik orang lain.
Katanya, ada juga yang hanya menyewa rumah yang kecil dengan bilangan ahli keluarga yang ramai.
“Saya membeli tanah ini diwakafkan dengan dibahagi-bahagikan kepada penerima dengan keluasan 130.06 meter persegi sebagai tapak rumah untuk satu keluarga yang layak.
“Kelulusan golongan asnaf ini untuk memiliki satu lot tapak rumah adalah berdasarkan kelulusan dari pihak Baitulmal kerana pihak Baitulmal yang akan membina rumah mereka,” katanya. – UTUSAN