Empat PATI ditahan bersama senapang angin buatan sendiri, tiga bilah sabit - Utusan Malaysia

Empat PATI ditahan bersama senapang angin buatan sendiri, tiga bilah sabit

PPM Wilayah Dua menahan empat PATI dan seorang transporter warga tempatan di Bakar Batu, Johor Bahru tengah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Polis menahan empat pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri berserta tiga bungkus peluru dan tiga bilah sabit di kawasan tepi Sungai Kampung Bakar Batu, di sini tengah malam tadi.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua, Asisten Komisioner Muhd. Zailani Abdullah berkata, keempat-empat suspek lelaki yang ditahan itu berusia antara 35 hingga 50 tahun.

Menurutnya, turut ditahan seorang pemandu kenderaan lelaki warga tempatan berusia 43 tahun yang dipercayai bertindak selaku transporter atau penghantar kepada keempat-empat suspek.

“Kesemua mereka ditahan ketika anggota polis membuat pemeriksaan terhadap sebuah Perodua Bezza yang berada dalam keadaan mencurigakan pada pukul 12.15 tengah malam. Sejurus selepas ditahan, keempat-empat suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah untuk memasuki negara ini,” katanya dalam kenyataan, di sini hari ini.

Tambah beliau, soal siasat terhadap semua suspek yang berasal dari Surabaya, Indonesia itu memaklumkan senapang angin berkenaan digunakan bertujuan untuk memburu.

“Kesemua yang ditahan berserta barangan rampasan kemudiannya diserahkan kepada Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan untuk tindakan selanjutnya. Kes berkenaan akan disiasat di bawah Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM); Akta Senjata Api 1960; Akta Bahan Letupan dan Kakisan dan Senjata Berbahaya serta Akta Imigresen 1959/63,” jelasnya.

Sehubungan itu, Muhd. Zailani turut meminta kerjasama orang awam dalam menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian jenayah kepada pihak Pasukan Polis Marin Wilayah Dua ditalian 07-2372221 atau 07-2372222. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya