PETALING JAYA – Jenama makanan sejuk beku terkenal, EB Frozen Food Sdn. Bhd., (EB) bakal mengedarkan kira-kira 6,000 pek cenderamata kepada orang ramai sepanjang Ramadan tahun ini.
Eksekutif Pemasaran EB, Nurul Fatihah Jamil berkata, pek cenderamata yang mengandungi bubur lambuk, produk EB antaranya nuget ayam tempura, ring roll (gegelang kacang soya) akan diedarkan di enam lokasi melibatkan tiga negeri.
Ring Roll itu sesuai dengan produk berasas sup. Celup dalam sup selama 3 saat dan sedia untuk dimakan.

Katanya, edaran pek berkenaan akan diberi secara pandu lalu di lokasi yang ditetapkan oleh pihak EB.
“Sepanjang Ramadan ini, kita akan mengedarkan kira-kira 6,000 pek cenderamata ini melibatkan empat lokasi sekitar Kuala Lumpur dan masing-masing satu di Kedah dan Johor.
“Lokasi pertama edaran adalah seperti program Isnin lalu di hadapan Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kita edarkan kira-kira 1,000 pek cenderamata ini,” katanya.

Menurut Nurul Fatihah, untuk destinasi seterusnya, EB akan melaksanakan program berkenaan di Masjid Zahir, Alor Setar, Kedah esok.
Katanya, program serupa akan diadakan di Masjid Mua’dz Bin Jabal di Taman Setiawangsa pada 11 April diikuti Masjid Saidina Hamzah, Kampung Batu Muda, Kuala Lumpur, 18 April.
“Dua lagi lokasi adalah Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur pada 25 April dan lokasi terakhir adalah di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, Johor Bahru, Johor pada 28 April ini.
“Program ini adalah sebahagian daripada aktiviti pihak EB dalam meraikan kedatangan bulan Ramadan tahun ini di samping mempromosikan produk EB kepada orang ramai,”ujarnya.
Sehubungan itu, Nurul Fatihah menjemput orang ramai hadir beramai-ramai ke lokasi yang akan dijelajah EB sepanjang bulan ini. –UTUSAN










