PETALING JAYA: Selepas hampir seminggu, kira-kira 30 peratus pesanan dalam kalangan penghantar makanan direkodkan dihantar kepada umat Islam di negara ini pada waktu siang.
Ini sekali gus menimbulkan persoalan sekiranya mereka yang bersembunyi di sebalik penghantar makanan itu, tetapi masih belum ada sebarang tindakan.
Presiden Persatuan Persatuan Penghantar P-Hailing Malaysia (Penghantar), Zulhelmi Mansor berkata, taktik tersebut bukan perkara baharu sejak sektor ekonomi gig diperkenalkan, namun, belum ada kaedah yang diambil untuk menanganinya.
Katanya, seharusnya pihak berwajib dapat menghidu perkara-perkara sebegini dan mengambil tindakan sepatutnya selari dengan peredaran zaman.
“Perkara ini agak sensitif, takut membuat tuduhan sebarangan dikhuatiri jadi fitnah di bulan Ramadan, tetapi sejujurnya perkara ini harus dipandang berat kita semua. Kalau dah sanggup untuk melakukan kesalahan dan membuat dosa, tidak boleh dinafikan perkara sebegini boleh terjadi.
“Sebenarnya isu ini agak lama juga, jadi seharusnya pihak berwajib dapat menghidu perkara-perkara yang sepatutnya akan berlaku kerana zaman telah berubah, maka caranya juga turut berubah.
“Namun, penghantar makanan ini hanya jalankan tugas mereka sahaja kerana mereka juga tidak tahu sebab jelas kenapa pelanggan memesan pesanan yang mungkin ada sebab tersendiri,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.
Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai golongan yang berkemungkinan tidak berpuasa yang sewenang-wenangnya bersembunyi di sebalik penghantar makanan, tetapi tiada tindakan yang diambil sehingga ke hari ini.
Jabatan-jabatan agama ketika ini pula hanya menyasarkan mereka yang tidak berpuasa secara terang-terangan sama ada terbuka di kedai atau di semak-semak di kampung.
Zulhelmi berkata, Penghantar bagaimanapun meminta orang ramai untuk tidak mendakwa golongan penghantar makanan sebagai bersubahat sama dengan golongan tersebut.
Katanya, pihak yang berwajib seharusnya juga dapat bekerjasama dengan syarikat operator bagi membolehkan perkara itu ditangani dengan sebaiknya.
“Justeru, kena ada satu arahan dan kesedaran bahawa syarikat operator ini jangan membuka pesanan pada waktu siang ketika bulan Ramadan ini. Perkara ni setidaknya boleh kurangkan untuk pelanggan membuat pesanan dan dalam masa sama pesanan hanya boleh dibuat oleh orang bukan Islam sahaja.
“Cuma nasihat saya kepada penghantar makanan semuanya, walau sepenat mana pun anda ketika mencari rezeki dalam bulan Ramadan ini, ingatlah bahawa Allah sentiasa bersama kita, kuatkan diri kita dan jaga iman kita masing-masing,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang penghantar makanan yang hanya mahu dikenali sebagai Ikmal, 25 berkata, mereka yang memesan pesanan kebanyakannya menggunakan nama samaran selain daripada nama yang signifikan kepada orang Melayu atau Islam.
Justeru katanya, ia sudah tentu tidak menimbulkan syak wasangka dalam kalangan penghantar, dan dalam masa sama mengakui penghantar hanya menjalankan kerja menghantar pesanan seperti mana ditetapkan oleh sistem.
“Tetapi apabila kita telefon untuk maklumkan yang makanan itu sudah dihantar di tempat disediakan, yang jawab itu pula lelaki berbangsa Melayu, jadi kita pun pelik walhal cuaca masih panas terik lagi.
“Kita pun tak boleh buat apa-apa sebab terikat dengan sistem, jika kita tolak pesanan itu kita juga yang rugi, ditambah dengan pesanan yang tidak berapa banyak pada bulan puasa ini,” jelasnya. – UTUSAN










