SUNGAI PETANI: Cubaan dua wanita Thailand melarikan diri dengan keluar dari tingkap dan meniti di atas bumbung deretan rumah kedai di Taman Sejati Indah di sini gagal apabila mereka dicekup anggota imigresen, awal pagi semalam.
Dalam serbuan kira-kira pukul 1.45 pagi itu, dua wanita berusia 37 dan 43 tahun terbabit ditahan ketika cuba bersembunyi di premis bersebelahan.
Kedua-dua mereka dipercayai menawarkan perkhidmatan urut selain seks dengan mengenakan caj berjumlah RM200 untuk bermalam.
Turut ditahan ialah seorang lelaki Bangladesh berusia 34 tahun yang dipercayai pelanggan kepada salah seorang wanita terbabit.
Ketika serbuan itu, anggota imigresen terpaksa memotong mangga kunci pada pintu utama premis di tingkat bawah yang merupakan sebuah restoran.
Pemeriksaan di tingkat atas premis itu mendapati ia sudah diubah suai dengan terdapat beberapa bahagian bilik yang dibina dengan berdindingkan papan sebagai pemisah.
Selain itu, turut ditemui peralatan seperti minyak pelincir, tisu serta kondom.
Timbalan Pengarah JIM negeri, Rosmaliza Mohamed Rashid berkata, pihaknya merampas wang RM200 yang dibayar seorang pelanggan iaitu lelaki warga Bangladesh kepada seorang wanita Thailand terbabit.
“Wang itu dipercayai dibayar pelanggan terbabit untuk bermalam dan mendapatkan khidmat seks di situ,” katanya.
Katanya, dua wanita Thailand ditahan dan siasatan dilakukan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 manakala lelaki Bangladesh pula ditahan mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana pas lawatan kerja telah tamat tempoh. – UTUSAN