Selangor hantar pasukan pelajari operasi stesen jana kuasa nuklear

Selangor hantar pasukan pelajari operasi stesen jana kuasa nuklear

Tenaga nuklear
AMIRUDIN Shari ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran PIPP yang dilancarkan oleh Fadillah Yusof, dekat Pulau Indah, Pelabuhan Klang, di Klang, Selangor, hari ini. - UTUSAN / AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLANG: Selangor akan menghantar sepasukan pakar ke China tahun depan bagi mempelajari pembinaan dan pengoperasian stesen jana kuasa berasaskan nuklear sebagai sebahagian daripada pelan bekalan tenaga mesra alam atau boleh diperbaharui negeri ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, bagi pelaksanaan tersebut beliau mahu ia dimulakan dengan sumber manusia iaitu menghantar pakar sebagai pelawat di Tsinghua University dengan sebahagian pembiayaan ditaja oleh kerajaan negeri.

“Ketika ini ada enam pelajar Malaysia di sana sedang melanjutkan pengajian di peringkat sarjana dalam bidang tersebut (kejuruteraan dan teknologi). Kita akan mencari tiga atau empat orang lagi dari Selangor dan ia akan dimasukkan dalam belanjawan negeri 2026.

“Saya ingat dalam tahun depan, selepas kita kenal pasti, kita akan buka (tawaran). Jadi, sasaran kita untuk selesaikan (mula menghantar) pada Mac,” katanya kepada pemberita pada Majlis Pelancaran Stesen Janakuasa Pulau Indah (PIPP), hari ini.

Terdahulu, beliau menyaksikan pelancaran PIPP oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof sebagai simbolik pengoperasian loji berkenaan yang sudah pun bermula sejak 1 Mac lalu.

PIPP yang menggunakan menggunakan turbin gas kitaran gabungan (CCGT) mempunyai kapasiti sehingga 1,200 megawatt (MW) yang disalurkan ke grid bekalan tenaga nasional dan mampu membekalkan tenaga kepada kira-kira satu pertiga keperluan penggunaan di Lembah Klang.

Amirudin berkata, projek PIPP merupakan penanda aras penting apabila ia merupakan pelaburan asing langsung pertama dari Korea Selatan menerusi Korea Electric Power Corporation (KEPCO) dengan keseluruhan kos bernilai RM3.3 bilion.

Jelasnya, PIPP yang menggunakan pembakaran gas asli adalah antara sumber tenaga bersih dan sebahagian daripada perancangan negeri ke arah penjanaan tenaga hijau atau boleh diperbaharui.

“Bagi PIPP, ia dijangka menjana pendapatan RM1.6 hingga RM2 juta. Ia juga menawarkan bekalan tenaga kepada perindustrian pada tarif yang lebih kompetitif.

“Di masa hadapan kita ada solar, kita juga ada projek hidro mini di Batang Kali, selepas ini Sisa Ke Tenaga (WTE). Itu adalah transisi yang lebih baik daripada Arang Batu dan kita akan terus mencari sumber tenaga sebaiknya,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×