Dua wanita di cabul selang 15 minit lelaki sama 

Dua wanita di cabul selang 15 minit lelaki sama 

WAN KAMARUL AZRAN WAN YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

CYBERJAYA: Dua wanita berdepan situasi cemas apabila dicabul lelaki tidak dikenali dalam kejadian berasingan di sebuah pusat beli-belah di sini, petang semalam. 

Difahamkan, suspek adalah lelaki yang sama dan malah, turut diburu polis sebelum ini berkaitan satu kes cabul di lokasi sama sekitar akhir tahun lalu. 

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, kejadian yang berlaku di Tamarind Square itu membabitkan dua wanita berusia 27 dan 34 tahun. 

Beliau berkata, kejadian pertama dikesan pukul 2 petang, manakala kes kedua dilaporkan selang 15 minit masing-masing ketika mangsa berada di tempat letak kereta dan berdekatan lif. 

“Dalam kejadian pertama, mangsa berusia 27 tahun mendakwa suspek bertindak menyentuh dan meramas punggungnya sebelum melarikan diri ketika sedang memasukkan barang ke dalam kereta.

“Mangsa gagal mengecam wajah suspek kerana memakai pelitup muka selain  berpakaian serba hitam, menyarung beg sandang, berkulit gelap dan bermata juling,” katanya ketika dihubungi hari ini. 

Katanya, kejadian kedua membabitkan seorang wanita berusia 34 tahun berhadapan sebuah lif di pusat beli-belah yang sama. 

Kamarul Azran berkata, mangsa mendakwa, suspek tiba-tiba muncul dari arah belakang sebelum memeluk dan mencabul ketika sedang menunggu untuk menaiki lif. 

Menurutnya, mangsa cuba melepaskan diri, namun suspek bertindak menolak mangsa sehingga terjatuh di atas lantai sebelum melarikan diri.

“Rakaman litar tertutup (CCTV) telah diperoleh dan kami dapati suspek adalah individu yang sama dengan kejadian pertama,” katanya. 

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan dan siasatan masih diteruskan untuk mengesan suspek.

Sebelum ini, kes hampir sama turut dilaporkan berlaku di tempat letak kereta pusat beli-belah itu membabitkan seorang suri rumah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN