Dua lelaki warga asing ditahan bersama dadah bernilai RM109,298 - Utusan Malaysia

Dua lelaki warga asing ditahan bersama dadah bernilai RM109,298

NANDA MAAROF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua lelaki warga asing yang dipercayai pengedar dadah ditahan polis bersama dadah disyaki syabu dan ganja yang dianggarkan bernilai RM109,298 di kawasan tempat letak kereta awam Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, suspek masing-masing berusia 27 dan 38 tahun itu ditahan selepas pihak polis membuat pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek yang dilihat mencurigakan.

“Sepasukan Anggota Unit Rondaan Bermotosikal (URB) Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban yang sedang menjalankan tugas berhampiran parkir kenderaan awam di HTJ mengesan sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan lanjut di dalam kereta itu menemukan empat bungkusan plastik yang mengandungi dadah disyaki jenis syabu dengan anggaran berat 2,683 gram dan lima ketulan mampat daun kering disyaki ganja dengan anggaran berat 5,084 gram,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Nanda, jumlah keseluruhan rampasan dadah tersebut adalah sebanyak 7,767 gram dengan nilai dianggarkan berjumlah RM109,298.

“Dadah yang dirampas dipercayai untuk diedarkan di kawasan sekitar Seremban dan Port Dickson selain untuk kegunaan sendiri. Hasil pemeriksaan pada kenderaan juga mendapati nombor pendaftarannya palsu manakala kedua-dua suspek tiada dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

Menurut Nanda, ujian saringan awal air kencing terhadap kedua-dua suspek juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine.

“Suspek yang juga dikesan tidak mempunyai pengenalan diri direman selama 14 hari bermula semalam. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 108A Akta Pengangkutan 1987 serta di bawah Akta Imigresen kerana tiada dokumen pengenalan diri,” katanya.

Tambah Nanda, kejayaan itu adalah hasil kerjasama yang erat antara masyarakat dengan pihak polis dalam menyalurkan maklumat mengenai jenayah narkotik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN