[VIDEO] Dua beranak didakwa bunuh kanak-kanak, wanita - Utusan Malaysia

[VIDEO] Dua beranak didakwa bunuh kanak-kanak, wanita

KHALID Redza Shuib (baju putih) bersama anak perempuannya berusia 18 tahun didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini. - UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Dua beranak didakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu.

Tertuduh, Khalid Redza Shuib, 41, dan anak perempuannya yang berusia 18 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, Mohd. Firdaus Salleh. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang juga tidak dibenarkan diikat jamin. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama telah menyebabkan kematian Hanan Hasrul Izwan berusia lima tahun.

Kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Taman Nee Yan di Seremban lebih kurang pukul 7 malam pada 3 Mac lalu. Dalam mahkamah berasingan di hadapan Majistret, Norzaliza Tesmin, Khalid Redza turut didakwa atas pertuduhan membunuh seorang perempuan, Meriamah Abdullah Basam, 29, di lokasi yang sama antara 15 hingga 17 Mac lalu dan tiada pengakuan direkodkan.

DUA beranak dakwa di Mahkamah Majistret Seremban hari ini atas pertuduhan membunuh seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun susulan penemuan tengkorak dan cebisan tulang pada 7 April lalu. – UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN

Sehubungan itu, mereka didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman mati atau dengan penjara selama 30 tahun, dan jika dikenakan hukuman mati boleh disebat.

Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, Khalid Redza mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Rushan Lutfi Mohamed atas dua pertuduhan iaitu mencederakan seorang wanita dan melakukan pengabaian kepada kanak-kanak.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera parah kepada Siti Syarifah Aibiddin, 35, dengan cara menyimbah air panas sehingga kulit melecur yang boleh didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara sampai 20 tahun dan hendaklah juga dikenakan denda atau sebat.

Bagi pertuduhan seterusnya, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan pengabaian ke atas seorang kanak-kanak bernama Sufiy Hasrul Izwan berusia 20 bulan iaitu kesalahan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya. Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di lokasi yang sama antara 1 Disember 2020 hingga 23 Mac 2022. Kesemua kes akan disebut semula pada 17 Mei depan.

Dalam pada itu, Khalid Redza yang merupakan seorang peniaga kecil-kecilan mengaku bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah ke atas Siti Syarifah Aibiddin, 35, yang mana tertuduh didakwa mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

Peguam pemerhati, Datuk Hanif Hassan yang mewakili pihak keluarga Siti Syarifah, memohon kepada mahkamah supaya dibenarkan untuk mendapatkan kenyataan impak daripada mangsa sebelum hukuman dijatuhkan.

“Saya dimaklumkan mangsa (Siti Syarifah) masih dirawat di hospital, mangsa juga boleh dikecualikan hadir dan memberikan kenyataan bertulis kepada mahkamah,” katanya.

Dalam prosiding kes, Khalid Redza kelihatan menangis dalam kamar tertuduh selepas membuat pengakuan bersalah. Mengikut fakta kes, mangsa mengalami luka yang pelbagai peringkat iaitu dari luka baru sehingga yang telah sembuh menandakan luka melecur tersebut dialami berulang kali pada masa yang berbeza.

Luka melecur di bahagian belakang pesakit mempunyai bentuk bersegi-segi seolah-olah ditekap dengan objek panas malah mangsa mengalami patah tulang femur sebelah kanan dan muka pesakit mengalami luka-luka kecil. Berdasarkan keterangan saksi yang ada mengesahkan terdapat kejadian pukul ke atas mangsa sehingga melecur dan memijak kaki mangsa secara berulang kali sehingga patah sepanjang tempoh mangsa tinggal di lokasi kejadian. Mahkamah kemudian menetapkan 27 April depan untuk mangsa mengemukakan kenyataan impak mangsa dan hukuman ke atas tertuduh.

Pada 7 April lalu, Utusan Malaysia melaporkan penemuan tengkorak, geraham dan cebisan tulang tersebut diperoleh hasil siasatan lanjut ke atas suspek utama kes penemuan mayat tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus, di sini pada 20 Mac lalu. 

Suspek lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita telah dibawa ke kawasan belukar dekat tangki air dan menunjukkan lokasi mayat kanak-kanak itu ditanam. Tulang ber­kenaan dijumpai kira-kira 10 meter dari lokasi asal mangsa dikatakan ditanam dalam keadaan ber­taburan ditutupi dengan daun-daun kering dan pokok kecil. 

Ditanya mengenai kaitan kes ini dengan penemuan mayat wanita tanpa identiti dalam gaung di Jalan Lama Bukit Putus, di sini pada 20 Mac lalu, Nanda berkata, suspek bagi kedua-dua kejadian dipercayai individu yang sama. Namun, wanita yang ditemui di Jalan Lama Bukit Putus dan kanak-kanak perempuan berusia lima tahun itu tidak mempunyai kaitan. Pada 23 Mac lalu, dua lelaki berusia 41 dan 44 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun direman bagi membantu siasatan kes penemuan mayat wanita terbabit dan penemuan tengkorak dipercayai kanak-kanak. Bagaimanapun, suspek lelaki berusia 44 tahun telah dibebaskan dengan bon mahkamah. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya