Dua beranak antara empat penyelam yang hilang - Utusan Malaysia

Dua beranak antara empat penyelam yang hilang

EMPAT penyelam yang dilaporkan hilang ketika melakukan latihan selam berhampiran Pulau Tokong Sanggol.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MERSING: Dua beranak merupakan antara empat penyelam warga Eropah yang dilaporkan hilang ketika melakukan latihan selam berhampiran Pulau Tokong Sanggol, di sini tengah hari semalam.

Mereka ialah lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46, dan anak lelakinya yang merupakan warganegara Belanda, Nathan Renze, 14.

Dua lagi mangsa yang hilang merupakan jurulatih selaman atau dive master, Kristine Grodem, 35, wanita yang berasal dari Norway serta remaja perempuan dari Perancis, Alexia Alexandra, 18.

Sementara itu Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi yang meninjau operasi mencari dan menyelamat berkata, pihak keluarga mereka telah dimaklumkan berkenaan tragedi itu selepas berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kita berdukacita kerana kehilangan empat pelancong bukan warganegara Malaysia ini yang melakukan latihan menyelam. Mereka yang hilang merupakan seorang jurulatih dan tiga lagi adalah pelajar tetapi pelajar-pelajar itu bukan pertama kali melakukan aktiviti menyelam, namun ada pengalaman menyelam.

ONN Hafiz Ghazi (tengah) meninjau SAR empat penyelam warga Eropah yang hilang di PHC Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, di sini. – UTUSAN/MASTURAH SURADI

“Tujuan mereka menyelam kali ini adalah untuk memperoleh lesen selaman yang lebih tinggi. Semua keluarga mereka dalam perjalanan ke sini,” katanya kepada pemberita di Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) di Jeti Awam Majlis Daerah Mersing, sebentar tadi.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri akan melaporkan kepada pihak kedutaan berkenaan status operasi mencari dan menyelamat (SAR) dari masa ke semasa serta memastikan semua pihak dimaklumkan berkenaan perkembangan terkini operasi berkenaan.

Katanya, operasi SAR disambung semula pagi ini sehingga petang, namun operasi mungkin akan dihentikan lebih awal susulan ramalan cuaca pada waktu petang yang dijangka mencabar.

Beliau memaklumkan, seramai 90 anggota terlibat untuk SAR tersebut selain 30 penyelam bersama-sama 18 aset bot serta dua buah helikopter turut digerakkan.

“Operasi SAR hari ini melibatkan keluasan 107 batu nautika di sekitar Pulau Tokong Sanggol dan disebabkan faktor cuaca, keselamatan anggota turut menjadi keutamaan dalam usaha menyelamat ini,” katanya.

“Kita akan buat yang terbaik dan akan pastikan keluarga mendapat maklumat terkini. Saya juga menjunjung kasih kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang berbesar hati menurunkan aset baginda iaitu dua bot untuk digunakan dalam operasi SAR ini,” katanya.

Tambahnya, Pejabat Daerah Mersing juga akan melihat prosedur operasi standard (SOP) serta langkah-langkah keselamatan dan persiapan supaya kejadian tersebut tidak berlaku lagi di masa hadapan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya