Doktor rugi RM747,000 ditipu ‘pegawai polis, KKM’ - Utusan Malaysia

Doktor rugi RM747,000 ditipu ‘pegawai polis, KKM’

JASMIN HUSSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAWAU: Akibat terpedaya dengan panggilan telefon daripada ‘pegawai polis dan Kementerian Kesihatan’, seorang doktor swasta mengalami kerugian RM747,000 baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, mangsa iaitu seorang lelaki yang berusia 30-an itu diperdaya sindiket Macau Scam sehingga membuat 16 transaksi bank sejak 27 Januari sehingga Mac lalu.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa menerima panggilan daripada seorang lelaki mendakwa daripada kementerian berkenaan memberitahu nama mangsa terlibat dalam kes pengubahan wang haram serta penyeludupan dadah.

Malah, nama mangsa turut digunakan untuk mengambil ubat di hospital lain.

Pada mulanya mangsa berasa sangsi dengan panggilan telefon tersebut namun, apabila panggilan disambungkan kepada seorang ‘pegawai polis’, mangsa menjadi cemas dan membuat transaksi bank seperti yang diarahkan suspek.

“Kita percaya sindiket ini melakukan penipuan menggunakan teknik ‘spoofing‘ iaitu penyamaran nombor talian apabila pemanggil menggunakan perkakasan internet ketika membuat panggilan melalui internet (VOIP).

“Mangsa dikehendaki memberi maklumat kad bank dan perbankan dalam talian kononnya bertujuan mengenal pasti sama ada mangsa terbabit dengan masalah pengubahan wang haram.

“Percaya kepada helah tersebut, mangsa kemudiannya membuat 16 transaksi pemindahan wang kepada akaun milik individu tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Namun, setelah menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudiannya membuat laporan polis pada 18 Mac lalu dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Justeru, Jasmin mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati dan tidak mudah mendedahkan maklumat perbankan kepada orang lain.

“Orang ramai juga diingatkan bahawa dalam sistem negara ini sesuatu institusi kerajaan tidak mempunyai hak untuk menyambungkan panggilan kepada institusi yang lain dalam satu panggilan yang sama,” katanya.

Jelas beliau, orang ramai dinasihati untuk memuat naik aplikasi ‘Semak Mule CCID’ untuk membuat semakan terhadap nombor telefon atau nombor akaun bank sebelum membuat sebarang urusan perbankan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN