PETALING JAYA: Empat syarikat konsesi lebuh raya iaitu Lebuhraya Shah Alam (KESAS), Sistem Pengurusan Air Banjir dan Terowong (SMART), Lebuhraya Skim Penyuraian Trafik Kuala Lumpur Barat (SPRINT) dan Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP) perlu didedahkan keuntungan dan nilai kutipan tol mereka.
Langkah itu bagi melihat rasional syarikat-syarikat berkenaan untuk diambil alih oleh syarikat lain.
Yang Dipertua Persatuan Keselamatan Pengguna Kuala Lumpur (PKP KL), Samsudin Mohd. Fauzi berkata, jika kesemua syarikat tersebut mengalami masalah kewangan, amat wajar dilakukan penstrukturan termasuk diambil alih oleh syarikat yang lebih besar dan berdaya maju bagi membolehkan usaha pemulihannya dapat diljalankan.
Namun, katanya, usaha pengambilalihan itu dilihat hanya menguntungkan sebelah pihak selain dilihat tindakan populis kerajaan untuk melindungi syarikat-syarikat yang membawa keuntungan.
“Pengumuman kerajaan bahawa tiada kenaikan tol bagi keempat-empat syarikat konsesi berkenaan sehingga tamat konsesi adalah baik. Namun, perlu diperjelaskan mengenai pelan penstrukturan termasuk rasional pengambilalihan.
“Pengguna lebuh raya sebelum ini tidak pernah didedahkan jumlah kutipan tol yang diperoleh setiap tahun. Apa yang pengguna tahu adalah perjanjian konsesi sahaja, jadi, perjanjian tersebut sepatutnya disemak semula untuk setiap tahun mengikut kadar keuntungan yang diperoleh oleh syarikat-syarikat berkenaan,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kadar tol empat lebuh raya di Lembah Klang tidak akan dinaikkan dan kekal sehingga tamat tempoh konsesi.
Kata beliau, keputusan itu dapat menjimatkan pembayaran pampasan dari 1 Januari lalu sehingga tamat tempoh konsesi yang dianggarkan sekurang-kurangnya RM4.3 bilion.
Malah, Amanat Lebuhraya Rakyat Bhd. turut menawarkan untuk membeli 100 peratus pegangan keempat-empat syarikat konsesi berkenaan, susulan penstrukturan semulanya seperti yang diumumkan.
Sementara itu, Presiden Lembaga Perlindungan dan Kebajikan Pengguna Malaysia (LPKPM), Dr. Lee Nan Sang berkata, pihaknya menyambut secara terbuka keputusan yang diumumkan kerajaan.
Jelasnya, mengikut perjanjian, selepas empat syarikat berkenaan mendapatkan untung, tol akan dimansuhkan, tetapi tiada satu standard untung yang munasabah dapat diperjelaskan. – UTUSAN










