BANDAR BAHARU: Polis mengenal pasti dalang dalam kalangan tahanan etnik Rohingya yang disyaki mencetuskan rusuhan sebelum meloloskan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar berkata, dalang tersebut berusia 30-an dan merupakan antara tahanan lama di depot itu.
Menurutnya, setakat ini lelaki tersebut masih bebas selepas meloloskan diri dalam kejadian tersebut.
“Siasatan awal didapati dia macam ‘kepala’ yang mungkin mengapi-apikan sentimen untuk bertindak (merusuh).
“Setakat ini, hanya seorang sahaja yang disyaki menjadi dalang,” katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Bandar Baharu di sini hari ini.
Beliau memberitahu, dalang tersebut dikenal pasti hasil siasatan awal yang dilakukan terhadap beberapa tahanan tersebut.
“Siasatan lanjut mengenai punca sebenar rusuhan sebelum tahanan terbabit meloloskan diri masih dalam siasatan, namun percaya tujuan mereka itu untuk bebas,” jelasnya.
Pada masa sama, polis masih menjalankan siasatan terhadap dakwaan rusuhan tersebut berlaku berikutan tahanan terbabit tidak berpuas hati terhadap pengurusan depot itu yang tidak memberi ubat kepada tahanan yang sakit sehingga meninggal dunia.
Katanya, pihaknya hanya dapat mengesahkan seorang tahanan lelaki etnik Rohingya berusia 30an mati dalam depot tersebut semalam.
“Bagaimanapun polis masih belum menerima laporan bedah siasat punca kematian tahanan,” katanya.
Dalam pada itu, menurutnya, setakat semalam, polis telah memanggil seramai 200 orang termasuk kakitangan Imigresen dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) yang bertugas pada hari kejadian untuk merakam percakapan bagi melengkapkan siasatan.
“Malah, polis akan memanggil lebih ramai lagi yang terlibat untuk merakam percakapan selepas ini,” tambahnya.
Hari ini, Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad memberitahu, jumlah keseluruhan tahanan di depot tersebut seramai 664 orang manakala mereka yang meloloskan diri pula seramai 528 orang dalam dalam kejadian pada pukul 4.30 pagi itu.
Setakat ini, seramai 398 etnik Rohingya yang melarikan diri dalam kejadian itu telah berjaya ditahan semula.
Utusan Malaysia pula hari ini pula melaporkan, kebanyakan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di sini memberi alasan bertindak demikian kerana ti dak berpuas hati terhadap pen gurusan depot termasuk tidak memberi ubat kepada tahanan sakit.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk di Kampung Relau berdekatan depot berkenaan, Syamsuddin Che Adni, 29, berkata, perkara itu disuarakan mereka ketika dia bertanyakan punca tindakan melarikan diri dari pusat ta hanan tersebut.
Menurutnya, dia pada mulanya terkejut apabila terdengar suasana bising sebelum melihat ratusan PATI kebanyakannya Rohingya berbaris keluar tanpa dikawal anggota Imigresen. – UTUSAN