TANAH MERAH: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan merampas 32,800 batang rokok seludup dan ketulan ganja mampat seberat 239.36 gram di dua premis berasingan di Kampung Air Asahan, Batu Gajah, di sini malam tadi.
Dalam serbuan bermula pukul 9 malam itu, pihak berkuasa turut menahan pemilik premis berkenan, seorang lelaki berusia 53 tahun bagi membantu siasatan.
Pegawai Pemerintah Batalion 7 Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua rokok seludup dan ganja itu dianggarkan bernilai RM25,198.40.
“Bertindak atas maklumat berkait dengan penyeludupan rokok tidak bercukai, sepasukan anggota Batalion 7 telah melakukan pemeriksaan ke atas kedai runcit milik seorang lelaki di Kampung Air Asahan.
“Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah rokok seludup dan pemeriksaan kedua di rumah lelaki itu di kampung sama membawa kepada penemuan sejumlah lagi rokok seludup serta ketulan ganja seberat 239.36 gram” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Azhari memberitahu, turut dirampas dalam serbuan itu, sebuah telefon bimbit bernilai RM1,600 dan wang tunai berjumlah RM5,939.
Katanya, siasatan awal mendapati ganja yang dibawa masuk dari Thailand dipercayai untuk dijual kepada penagih di sekitar kawasan pekan Tanah Merah.
“Kesemua barangan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952,” ujarnya. –UTUSAN