JOHOR BAHRU: Pembukaan sempadan antarabangsa khususnya Malaysia-Singapura memberi rahmat buat sektor ekonomi Johor apabila ribuan warga republik berkenaan berkunjung ke negeri ini untuk membuat persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, buktinya boleh dilihat daripada kesesakan jalan raya sama ada membabit kenderaan warga Singapura mahupun kenderaan rakyat tempatan sendiri.
Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya melihat kesesakan jalan raya yang berlaku khususnya di Johor Bahru ketika ini sebagai satu signal positif buat ekonomi negeri.
“Alhamdulillah (pembukaan sempadan) ada kesan cukup positif, di bandar Johor Bahru kita dapat lihat kesesakan jalan raya, itu satu signal yang positif kepada ekonomi dan kita alu-alukan.
“Pembukaan sempadan itu juga kebetulan sama waktu dengan sambutan perayaan Aidilfitri, jadi ramai orang Singapura datang ke negeri ini untuk berbelanja, itu satu perkembangan positif,” katanya dalam sidang akhbar selepas Melancarkan Program Semarak Syawal Fama 2022 di Pasar Tani Jalan Datin Halimah, di sini hari ini. Turut hadir, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, Datuk Seri Ahmad Hamzah.
Sementara itu, Onn Hafiz turut mengakui kejatuhan nilai ringgit berbanding matawang Singapura turut memberi manfaat kepada peniaga-peniaga yang telah terkesan sejak dua tahun lalu akibat pandemik Covid-19.
“Penyusutan nilai matawang secara asasnya memang akan memberi tarikan tambahan kepada rakyat Singapura untuk datang berbelanja di sini, itu sudut positif yang boleh kita lihat.
“Namun, saya berharap kejatuhan nilai ringgit ini hanyalah bersifat sementara sahaja dimana kita mahu nilai ringgit kembali pulih dan kukuh untuk menstabilkan harga barang,” jelasnya.
Sempadan antarabangsa Malaysia kembali dibuka pada 1 April lalu selepas kerajaan mengumumkan negara sedang memasuki fasa peralihan ke endemik selepas ianya ditutup sejak 18 Mac 2020. – UTUSAN