MELAKA: Enam ahli Kelab Rakan Muda Tangga Batu mengambil inisiatif menjual air balang di Bazar Aidilfitri Mega Klebang, dekat sini untuk mencari dana membantu rakan ahli yang tidak bekerja.
Ketuanya, Armieza Md. Zaini, 37, berkata, mereka berpakat dan berkongsi modal dengan menyewa tapak niaga yang mana keuntungan diperoleh dimasukkan ke dalam tabung dana.
Katanya, wang yang terkumpul melalui tabung tersebut sekurang-kurangnya dapat digunakan untuk membeli baju raya ahli serta membantu rakan yang belum mendapat pekerjaan tetap bagi meringankan beban menyambut Aidilfitri.
Di samping itu, katanya, lebihan daripada keuntungan turut disalurkan untuk membantu golongan asnaf, anak yatim serta miskin.
“Kami berniaga di bazar ini bukan mencari keuntungan poket sendiri tetapi lebih kepada mengumpul dana untuk membeli baju raya kepada ahli kelab dan membantu rakan-rakan yang hidup susah.
“Alhamdulillah, sejak seminggu selepas bazar dibuka, kami sudah dapat keuntungan untuk membayar separuh tapak sewa berharga RM2,500 dan kini mencari keuntungan untuk tabung dana kelab,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Armieza berkata, setakat ini perniagaan mereka berjalan lancar dan sambutan orang ramai sangat mengalakkan.
Tambahnya, selain air balang, mereka turut menjual jagung keju, wafel dan kuih raya. – UTUSAN