KUALA LUMPUR: Isteri pengarah sebuah syarikat pembinaan lebuh raya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan membabitkan pengubahan wang haram bernilai lebih RM60 juta, lapan tahun lalu.
Puan Sri Noor Azrina Mohd. Azmi, 48, yang merupakan isteri kepada pengarah Maju Holdings Sdn Bhd, Tan Sri Abu Sahid Mohamad membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut pertuduhan, Noor Azrina didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM67,136,588.43 menerusi akaun banknya dari akaun bank milik Abu Sahih Mohamed.
Perbuatan itu didakwa dilakukan antara 6 Mac 2017 dan 27 November 2017 di CIMB Bank Berhad cawangan Bukit Tunku, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dihukum di bawah seksyen 4(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa ia dilakukan atau RM5 juta mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Akram Gharib mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin serta pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah.
Peguam bela, Abdul Hakeem Aiman yang mewakili Noor Azrina tidak membantah cadangan itu dengan alasan jumlah berkenaan munasabah serta wajar dipertimbangkan oleh mahkamah.
“Pihak pembelaan bersetuju dengan jumlah tersebut atas alasan ia bersifat adil dan cukup untuk memastikan kehadiran tertuduh ke mahkamah bagi prosiding seterusnya. Tertuduh juga telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan,” katanya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM500,000 dikenakan terhadap tertuduh dengan seorang penjamin warganegara tempatan berserta syarat tambahan yang dimohon oleh pihak pendakwaan dan menetapkan 3 November hadapan untuk sebutan semula kes.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyita pelbagai aset bernila kira-kira RM32 juta dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri susulan siasatan melibatkan penyelewengan dana pembinaan lebuh raya di Lembah Klang.
Antara barangan yang disita ialah tas tangan, barangan kemas, kenderaan mewah, jam tangan dan wang tunai selepas Bahagian Siasatan SPRM menggeledah dua kediaman milik individu itu di ibu negara pada Mei lalu.-UTUSAN










