SEREMBAN: Berkorban masa dan tenaga lebih seminggu akhirnya membuahkan hasil buat penduduk Jalan 2/1 Taman Mayang Sari, Senawang di sini yang muncul juara Pertandingan Hiasan Ceria Lorong sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-68 dan Hari Malaysia 2025.
Wakil penduduk, Farizal Osman, 46, berkata, mereka juga membelanjakan hampir RM1,000 bagi menyiapkan tiga hiasan kreatif bertemakan pertahanan dengan menggunakan buluh, kayu palet dan papan selain barangan terbuang.
“Tahun lalu kos sekitar RM800, tetapi kali ini lebih tinggi kerana rekaan lebih besar dan lebih terperinci.
“Kami bahagikan tugas, ada yang siapkan gubahan payung dan lampu malam, ada bina pertahanan pertama dan kedua sebelum kemuncak dengan rekaan jet pejuang. Syukur, kepayahan itu akhirnya berbaloi dengan kemenangan ini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.
Katanya, pertandingan itu merupakan anjuran Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Matahari Indah bersama Taman Senawang Indah 2 dan Taman Mayang Sari.
Sebanyak tujuh lorong daripada ketiga-tiga taman perumahan tersebut telah mengambil bahagian.
Sementara itu, Pengerusi KRT, Mohd. Faizul Kamarozaman, 43, berkata, tema tahun ini menekankan penghayatan sejarah tanah air termasuk paparan tokoh kemerdekaan, Rukun Negara, jata negara, bunga kebangsaan dan peristiwa bersejarah.
“Hiasan yang dipamerkan amat kreatif, ada menampilkan kereta kebal, jet pejuang dan bangunan ikonik. Semangat kebersamaan ini membuktikan perpaduan penduduk semakin kukuh walaupun datang daripada pelbagai latar belakang,” katanya.-UTUSAN.










