Berbuka puasa dalam banjir kilat - Utusan Malaysia

Berbuka puasa dalam banjir kilat

YUSNIZAN Din menunjukkan rumahnya yang dimasuki air dalam kejadian banjir kilat di Kampung Masjid, Sungai Layar, Sungai Petani. - UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Seramai 10 keluarga berbuka puasa dalam banjir kilat selepas hujan lebat berikutan keadaan parit yang tersumbat di Kampung Masjid, Sungai Layar di sini, petang semalam.

Dalam kejadian pada pukul 5.45 petang itu, semua rumah terbabit dinaiki air kira-kira 0.5 meter sekali gus membantut persiapan berbuka puasa.

Seorang penduduk, Yusnizan Din, 50, berkata, ketika kejadian, dia sedang membantu isterinya, Azlawati Ahmad, 45, memasak di dapur rumahnya.

“Hujan lebat hanya setengah jam dan kami sekeluarga terpaksa meninggalkan persiapan berbuka untuk memindahkan barangan rumah ke tempat tinggi. Bimbang kejadian buruk membabitkan litar pintas kerana rumah digenangi air kami sekeluarga terpaksa berbuka dengan membeli makanan di kedai berdekatan,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Penduduk, Abdul Wahab Harun, 66, berkata, hadapan rumahnya yang masih dalam pembinaan dipenuhi air sebelum melimpah memasuki rumahnya yang didiami bersama isteri, Bakiah Din, 62.

“Kami terkejut kerana paras air yang memasuki rumah agak tinggi kali ini berbanding kejadian banjir kilat yang berlaku sebelum ini sejak parit baharu dibina oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) empat bulan lalu. Selain membantutkan persiapan berbuka, kami juga mengalami kerugian kerana banyak perabot terendam air,” katanya yang merupakan pesara polis.

Suri rumah, Rohani Arshad, 66, berkata, dia terpaksa berhenti memasak juadah berbuka dan bergegas keluar rumah kerana bimbang keselamatan selepas air semakin banyak memasuki rumahnya.

“Saya terpaksa meninggalkan persiapan memasak untuk berbuka sebaliknya meminta bantuan jiran memindahkan suami, Mohammad Yusuf Salleh, 69, pesakit saraf yang tidak boleh bergerak ke tempat selamat. Dalam keadaan kelam-kabut itu, saya dan suami terpaksa berbuka di rumah jiran dan sehingga pagi ini air masih memenuhi rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN