Berbuka dengan 30 sentuhan istimewa Cef Wan

Berbuka dengan 30 sentuhan istimewa Cef Wan

MUHAMAD Farhan Aszme (kiri) bersama barisan cef di Chef Wan Cafe, Banda Hilir, Melaka menunjukkan menu istimewa ditawarkan sempena Ramadan. - FOTO/DIYANATUL ATIQAH ZAKARYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Orang Melaka kini boleh merasai lebih 30 sajian sentuhan istimewa cef terkemuka, Cef Wan yang menawarkan hidangan separa bufet sempena Ramadan di rangkaian baharu Chef Wan Cafe di pusat beli-belah The Shore di sini. 

Ketua Cef, Muhamad Farhan Aszme berkata, antara juadah istimewa yang ditawarkan adalah asam pedas ikan jenahak, nasi kerabu ayam percik, nasi bukhari kambing bakar kuzi dan cucur udang. 

Katanya, kesemua masakan itu menggunakan resipi asli diilhamkan oleh Cef Wan yang kaya dengan pelbagai rasa tradisi masyarakat Melayu serta pilihan istimewa untuk menu masakan barat bagi memenuhi setiap cita rasa pelanggan. 

“Bagi bulan Ramadan, kita menawarkan hidangan semi bufet iaitu ada makanan yang akan dihidangkan dan pelanggan juga boleh mengambil lebih 30 juadah tambahan di beberapa stesen makanan disediakan. 

“Antara juadah istimewa adalah asam pedas ikan jenahak yang dimasak menggunakan bahan-bahan berkualiti tinggi dan nasi kerabu didatangkan dengan ayam percik, ikan kering, aneka ulaman, budu, keropok ikan serta telur masin,” katanya di sini hari ini.

Tambahnya, selain itu pelanggan juga boleh menikmati hidangan popular mi rebus Cik Aini yang merupakan resipi turun temurun keluarga itu. Bagi hidangan barat, antara sajian disediakan adalah jamaican fish and chips, roasted half spring chicken dan spaghetti aglio olio with baked tikka tiger prawn.

Mengulas lanjut, Muhammad Farhan berkata, menu makanan separa bufet itu akan dipelbagaikan pada setiap minggu bagi memberikan kelainan kepada pelanggan setia.

“Kita akan pelbagaikan menu berbuka ini, namun juadah istimewa kita akan dikekalkan kerana ia memang digemari ramai. Cucur udang juga merupakan salah satu menu ‘wajib cuba’ kerana ia bukan sahaja dimasak dengan keseimbangan tepung yang rangup dan udang segar, malah kita datangkan bersama dua jenis kuah termasuklah kuah kacang tradisi,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN