Batu Puteh: Laporan akhir bakal dibentang dalam masa terdekat - Utusan Malaysia

Batu Puteh: Laporan akhir bakal dibentang dalam masa terdekat

PEMANDANGAN Pulau Batu Puteh berdekatan perairan Johor yang diserahkan ICJ kepada Singapura kini dituntut semula oleh Malaysia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Laporan akhir Pasukan Petugas Khas (PPK) mengenai kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan bakal dibentangkan kerajaan dalam masa terdekat.

Perkara berkenaan disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan laporan akhir tersebut akan disediakan sebelum dibentangkan untuk pertimbangan Kabinet bagi menentukan tindakan selanjutnya.

PPK diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 9 Oktober tahun lalu bagi menyemak semula undang-undang berhubung kes kedaulatan tiga batuan tersebut yang dipengerusikan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali dan disertai sembilan anggota antaranya ialah bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Ahmad Nazri Yusof.

Turut terlibat ialah empat peguam terkenal tempatan selain wakil kerajaan negeri Johor, Jabatan Peguam Negara, Kementerian Luar serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem).

Wan Junaidi berkata, setakat ini PPK sudah mengadakan 12 kali mesyuarat dan perlu mengesyorkan opsyen terbaik bagi hala tuju kerajaan dalam masa enam bulan.

“Beberapa siri mesyuarat tersebut turut menubuhkan tiga lagi jawatankuasa kecil iaitu aspek perundangan, tort of misfeasance dan kesan pada hubungan Malaysia-Singapura,” jelasnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau yang mempengerusikan Jawatankuasa Pemantauan dengan PPK turut dimaklumkan bahawa laporan interim sudah dikemuka dan dibentang kepada Perdana Menteri semalam.

PPK jelasnya, merupakan sebuah pasukan dengan kepelbagaian pengalaman, kepakaran dan pengetahuan yang menjadi kekuatan bagi penghasilan dapatan dan opsyen terbaik Malaysia.

“Kerajaan amat komited memastikan isu kedaulatan negara sentiasa terjamin serta menjadi keutamaan termasuk Batu Puteh, Batuan Tengah serta Tubir Selatan, dan mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan secara am mengambil maklum yang laporan interim diserahkan oleh PPK kepada Perdana Menteri. Jawatankuasa ini turut memberikan input penambahbaikan untuk perhatian PPK manakala laporan akhir akan disediakan tidak berapa lama lagi untuk pertimbangan Kabinet,” katanya.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan Batu Puteh sebagai milik Singapura namun Batuan Tengah sebagai hak kedaulatan mutlak Malaysia, bagaimanapun keputusan di The Hague, Belanda tersebut tidak memuktamadkan status Tubir Selatan dan hanya ditentukan kemudian berdasarkan kedudukan terkini batuan itu terletak.

Sehubungan itu, sejurus selepas keputusan ICJ, Malaysia segera membina Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah sebagai persediaan bagi menuntut hak Tubir Selatan di sebelahnya. Isu tuntutan bertindih Batu Puteh atau dirujuk Singapura sebagai Pedra Branca, mula tercetus pada 1979 apabila Jupem menerbitkan peta rasmi memaparkan ia dalam wilayah Malaysia.

Ia turut menjadi panas ekoran arahan penarikan rayuan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 2018. Tindakan drastik pemimpin itu membangkitkan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai perbuatan tidak patriotik dan menjual kedaulatan negeri tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN