Banyak perkara berat, sedih, perit saya lalui…- Amylea Azizan - Utusan Malaysia

Banyak perkara berat, sedih, perit saya lalui…- Amylea Azizan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Amylea, figura seni yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam industri seni. Bila cakap sahaja nama seorang penyanyi ini, pastinya sudah terlintas di fikiran lagu-lagu tema drama tempatan atau OST nyanyiannya.

Pejam celik, sudah 18 tahun rupanya Amylea Azizan menyulam nama dalam industri seni tanah air. Bermula dengan program realiti Akademi Fantasia (AF3), kini penyanyi ini ada nama tersendiri dalam pentas muzik tempatan setanding dengan penyanyi popular lain.

Bercakap mengenai muzik, Amylea memang cintakan bidang ini. Perkara tersebut tidak dapat dinafikan lagi. Bermula dengan penyanyi, kini dia seorang komposer dan penulis lagu yang ternama dan berbakat besar.

Setiap daripada lirik dan melodi yang dihasilkan cukup membuatkan pendengar meruntun jiwa. Tetapi ada perkara yang sebenarnya kita tidak tahu mengenai wanita versatil ini.

“Saya selalu memberitahu orang yang balada adalah genre yang paling saya kurang minat. Tetapi, kita bekerja dengan runut bunyi (soundtrack) drama-drama.

“Sudah pastinya kita tidak boleh nak membuat lagu yang lain selain genre balada.

“Mungkin orang lihat saya banyak menyanyikan atau menghasilkan lagu genre itu kerana drama, tetapi banyak sahaja genre lain yang saya lakukan,” katanya ketika ditemu bual.

Mengulas lanjut, sewaktu namanya baru-baru meningkat naik, dia sudah banyak menghasilkan lagu yang bukan bergenre balada.

Punyai harapan sama seperti orang lain, penyanyi lagu Kendati ini mahu buktikan dirinya mampu lakukan yang terbaik dalam bidang muzik ini.

“Terutama seperti lagu Aku Sindarela yang bergenre pop rock. Sebenarnya saya sudah banyak menghasilkan lagu yang bukan balada,” katanya ketika ditemu bual.

“Cuma, zaman itu bukan zaman pendengar itu. Balada ini sebenarnya genre yang baru-baru juga saya buat.

“Namun begitu, untuk karier, saya akan lakukan yang terbaik semampu saya. Kurangkan alasan, lebihkan disiplin. Penat macam mana pun, saya mahu tunjuk bahawa inilah yang saya sedang lakukan,” ujarnya panjang.

‘Bukan mahu tunjuk pandai’

Bintang ini bukan sahaja berbakat dalam dunia muzik, tetapi dia juga sebenarnya mempunyai bakat dalam lakonan.

Sedia maklum, anak seni seorang ini dilihat menjadi antara komposer dan penulis lirik yang begitu kerap menghasilkan lagu untuk runut bunyi drama-drama terbitan Radius One.

Tampil dengan naskhah berjudul Dendam Seorang Isteri, dia berkongsi ‘desakan’ daripada insan-insan di dalam Radius One adalah faktor munculnya figura ini di layar skrin.

“Saya dengan Radius One sudah 15 tahun. Kebanyakan masa saya memang bersama dengan mereka.

“Berapa lama saya dengan mereka itu jugalah tanya dalam banyak perkara, kenapa lakonan saya tidak buat. Jadi, ini adalah push daripada mereka sendiri,” katanya.

Bertanya mengenai cabaran berlakon, dia yang sudah terbiasa di dalam studio rakaman, menghasilkan lagu-lagu, menganggap bidang lakonan ini adalah perkara yang seronok.

Ini kerana, dia sebagai penerbit lagu mendedahkan kerja-kerja menghasilkan lagu adalah tugasan yang berat berbanding menjadi seorang pelakon.

Namun bukan niatnya menunjuk hebat atau pandai, ia hanyalah menerusi pengalaman-pengalaman yang sudah dilaluinya selama memahat nama dalam industri.

“Bukan nak cakap saya pandai, tidak. Tetapi bagi saya, dalam banyak kerja yang saya pernah lakukan, dubbing dan menghasilkan penulisan lirik adalah jauh lagi sukar dan perlu menggalas tanggungjawab yang lagi berat. Malah, sangat-sangat memeningkan kepala.

“Jadi, apabila berlakon, kita pergi ke set, semuanya serba lengkap. Saya rasakan ia sangat menyenangkan hati. Kita datang hendak menghafal dialog dan meminta pandangan dengan para pelakon yang profesional, itu sangat membantu.

“Namun, bila saya di studio, saya yang mengarah dan menghasilkan, itu lagi ‘berat’ betul. Apabila kita sudah terbiasa melakukan kerja berat, saya rasakan lakonan ini seronok,” kongsinya.

PENJIWAAN

Bukan penyanyi sahaja yang penting menjiwai sesebuah lagu, namun sebagai seorang pelakon, penjiwaan watak yang dimainkan juga adalah penting bagi menghidupkan watak tersebut.

Dua tahun sebelum ini, setiap insan dibelenggu dengan segala masalah. Tiada sumber pendapatan, tiada pekerjaan, tertekan, kehilangan orang tersayang.

Ya, dua tahun itu amat terkesan oleh rata-rata manusia akibat wujudnya virus Covid-19 yang sekelip mata mematikan rasa gembira dan riang. Cuma ada, hanya rasa risau dan gundah.

Sama seperti penyanyi lagu Bukan Cinta ini, selama tempoh tersebut pelbagai peristiwa dan pengalaman hitam yang harus ditempuhnya dengan hati yang terbuka.

“Ini masa yang sesuai untuk saya mencuba kerana masa muda mungkin pengalaman hidup kurang.

“Jadi kini saya sudah meningkat usia, sudah semestinya banyak perkara yang besar, berat, sedih serta perit yang saya lalui selama dua tahun sebelum ini.

“Jadi segala peristiwa yang pernah lalui, saya cuma methodkan dan gunakan dalam lakonan,” tuturnya.

Sedia maklum, pada tanggal 11 Ogos tahun lalu perginya seorang yang cukup bermakna dalam hidup penyanyi ini ke negara abadi iaitu bapa tercintanya, Allahyarham Azizan Zainal Abidin.

Bapanya adalah segala-galanya buat dirinya, tiada dia di muka bumi ini lagi bagaikan tidak lengkap hidupnya.

Bagi menjiwai watak dalam lakonan, dia sering kali terkenangkan bapa tercintanya sehingga gugur air mata kerinduannya di set pengambaran.

“Saya pernah sampai suatu tahap, saya terlalu sedih dalam hidup dan lebih sedih daripada itu. Sekurang-kurangnya saya dapat menangis di set, tidak perlulah menangis lagi di rumah.

“Rasa itu datang dengan mudah apabila saya kehilangan bapa. Dia sangat penting dalam hidup saya. Jadi, di set saya hanya jujur dengan apa yang saya rasa,” ujarnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.