Angkut 17 PATI naik Rusa waktu berbuka

Angkut 17 PATI naik Rusa waktu berbuka

PERODUA Rusa yang dinaiki warga Kemboja ditahan anggota Batalion 9 PGa Kuala Terengganu di tepi jalan berhampiran pangkalan haram Pasir, Pengkalan Kubor, Tumpat, Kelantan. - IHSAN PGA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TUMPAT: Cubaan seorang lelaki tempatan mengangkut 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Kemboja menaiki sebuah Perodua Rusa ketika waktu berbuka puasa gagal apabila taktiknya itu dihidu pihak berkuasa, semalam.

Dalam kejadian pukul 7.35 malam, anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu menahan van yang sarat dengan PATI itu di tepi jalan berhampiran pangkalan haram Pasir, Pengkalan Kubor, di sini.

Pegawai Pemerintah Medan PGA, Superintenden Azhari Nusi berkata, semasa melakukan rondaan rutin, anggota bertugas mengesan van jenis Perodua Rusa berada dalam keadaan mencurigakan di tebing Sungai Golok.

Menurutnya, menyedari kehadiran anggota PGA, pemandu van bertindak memecut kenderaan namun terbabas di bahu jalan tidak jauh dari kawasan pangkalan haram tersebut. 

“Semasa ditahan, suspek berusia 31 tahun cuba melarikan diri tetapi gagal, hasil kecekapan anggota bertugas. Pemeriksaan ke atas van menemukan seramai 17 lelaki warga Kemboja dengan kesemua mereka tiada dokumen perjalanan sah dan dipercayai memasuki Malaysia menggunakan laluan tidak diwartakan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Azhari memberitahu, pada masa yang sama PGA turut menemukan 95 biji pil Yaba yang disembunyikan di bahagian tapak kaki pemandu tersebut, dipercayai dibawa masuk dari Thailand untuk pasaran di sekitar Pengkalan Kubor.

“Suspek turut mengaku berperanan sebagai transporter dengan kadar upah sebanyak RM250 setiap trip penghantaran. Kesemua tangkapan dan barang rampasan kemudian telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Kata beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM), Seksyen 6 (1) (c)  Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952. – UTUSAN

 

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN