ARAU: Profesionalisme sebagai penjawat awam perlu diangkat martabatnya melalui kredibiliti dan imej yang ditonjolkan.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, para penjawat awam juga perlu berwaspada terhadap pandangan dan persepsi rakyat.
Dalam masa sama, titah baginda, kakitangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) diseru bersama-sama mencipta dan menjaga keperibadian diri yang unggul serta mempertahan nilai integriti dalam perkhidmatan.
“Hari ini banyak orang berlumba-lumba mensensasikan berita yang belum pasti kesahihannya. Maka, para penjawat awam berwaspadalah terhadap pandangan dan persepsi rakyat.
“Kecemerlangan prestasi seseorang itu bukan sekadar diukur dengan tercapainya sasaran kerja semata-mata, bahkan perkhidmatan yang bersih dan berintegriti.
“Perkhidmat majlis ini mesti terus berusaha ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih pantas, efektif, berkualiti, telus dan mendahulukan pelanggan bagi memastikan matlamat MAIPs dapat dicapai,” titah baginda.
Baginda yang jugaYang Dipertua MAIPs bertitah demikian pada majlis anugerah perkhidmatan terpilih dan anugerah keterampilan agensi di bawah MAIPs 2021 di Hotel Putra Regency , di sini hari ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd. Nazim Mohd. Noor.
Baginda berharap setiap warga MAIPs sentiasa menjaga imej dan nama baik jabatan masing-masing bagi mengelak sebarang isu dan tanggapan negatif masyarakat dalam zaman serba moden dan mencabar ini.
Dalam pada itu, titah baginda, majlis anugerah tersebut mempunyai makna besar yang mana MAIPs saban tahun sentiasa menghargai kakitangannya serta warga kerja Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Jabatan Mufti, Jabatan Kehakiman Syariah dan Pejabat Tuanku Raja Perlis yang sentiasa mempamer perkhidmatan terbaik.
“Anugerah yang disampaikan bukan hanya sebagai pendorong dan pengiktirafan kepada prestasi kerja cemerlang semata-mata, tetapi ia juga menjadi penggerak transformasi dan peneraju perubahan yang positif dalam membudayakan lagi kecemerlangan.
“Teruskanlah prestasi cemerlang dan komitmen untuk kekal progresif dan produktif. Sesungguhnya kerja itu ibadah dan bekerjalah kerana Allah SWT,” titah baginda. – UTUSAN