Akhirnya kuih raya pun naik harga

Akhirnya kuih raya pun naik harga

SAIFUL Bahari Ikhwan melayan pelanggan yang berkunjung ke premis jualan mereka untuk mendapatkan rempeyek sempena Hari Raya Aidilfitri di Kampung Tengah, Kluang, Johor. – UTUSAN/NUR NABILAH RAHMAT
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KLUANG: Selepas hampir semua barangan keperluan utama rakyat mengalami kenaikan harga, akhirnya pengusaha kuih dan biskut raya termasuk rempeyek dan kerepek di negeri ini juga terpaksa menaikkan harga jualan produk masing-masing.

Mereka mendakwa tiada pilihan berikutan peningkatan kos bahan mentah termasuk botol plastik, kotak dan minyak masak daripada pembekal.

Pengurus Pemasaran dan Operasi Wak Tunot Enterprise, Saiful Bahari Ikhwan berkata, mereka terpaksa menaikkan harga jualan semua makanan tersebut sehingga lapan peratus berbanding tahun lalu.

Katanya, selain kenaikan harga, mereka juga berdepan kesukaran mendapatkan bekalan tepung gandum yang meru­pakan bahan utama produk mereka, yang berkemungkinan disebabkan permintaan tinggi atau disorok pihak tertentu.

“Pada awal tahun ini kami terpaksa naikkan harga jualan produk rempeyek sehingga ke lapan peratus, sebagai contoh harga rempeyek pada 2020 adalah RM14 untuk 600 gram (g) tetapi pada 2021 harganya me­ningkat menjadi RM15 dan naik lagi RM1 untuk tahun ini.

“Jika sebelum Covid-19, kami boleh jual rempeyek dalam paket kecil berharga RM4 sebungkus menjadi RM10 untuk tiga bungkus, tetapi kali ini tidak boleh lagi dan untuk serap kos kami terpaksa kurangkan kan­dungan dalam bungkusan jualan kerana jika terlalu mahal tiada orang beli,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di kilangnya di Kampung Tengah, di sini semalam.

Bagaimanapun, bagi produk jualan dalam botol, Saiful Bahari berkata, mereka terpaksa menaik­kan harga jualan produk kerana harga botol dan kotak yang mahal.

Dalam pada itu, Pengurus Pemasaran Azhar Food Sdn. Bhd., Syahme Azhar berkata, pihak­nya kini berdepan dengan permintaan kerepek yang tinggi namun tidak dapat memenuhinya kerana kekurangan pekerja.

Katanya, mereka juga terpaksa menaikkan harga jualan selepas berlaku kenaikan harga minyak masak di pasaran.

“Alhamdulillah, sambutan terhadap jualan kerepek semakin meningkat, mungkin disebabkan Aidilfitri kali ini kita sudah tidak lagi dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), namun kami tidak dapat penuhi semua permintaan dan kini hanya terima pesanan daripada pelanggan yang datang ke kedai bukannya yang membuatpesanan pukal.

“Pesanan awal untuk kerepek berasaskan ubi kayu pula sudah ditutup sebulan yang lalu dan kami juga menghadapi isu susah mendapatkan bekalan minyak masak selepas PKP lalu.

“Kalau dahulu harga jualan minyak masak seberat 17 kilogram hanyalah RM75 setong tetapi sekarang sudah mence­cah RM90 setong, maka memang kami tidak dapat elak untuk tidak menaikkan harga jualan produk,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya