Aidilfitri: Sebulan gaji untuk penjawat awam Selangor

Aidilfitri: Sebulan gaji untuk penjawat awam Selangor

AMIRUDIN Shari beramah mesra dengan penjawat awam Selangor pada Majlis Rapat Rahmah Ramadan bersama Menteri Besar Selangor di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK di Shah Alam, Selangor. - UTUSAN / ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Penjawat awam di negeri ini menerima sebulan gaji atau bayaran minimum RM1,000 daripada Kerajaan Negeri Selangor sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri, Mei ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri 2022 itu sebagai menghargai usaha penjawat awam di negeri ini yang berkhidmat tanpa jemu memajukan Selangor. 

“BKK ini layak kepada semua anggota perkhidmatan kerajaan negeri termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN), Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Timbalan Speaker DUN, Ahli Dewan Negeri, pengurusan tertinggi dan anggota perkhidmatan kerajaan negeri yang gajinya dibayar oleh Kerajaan Persekutuan. 

“Pembayaran BKK dibuat pada 27 April dengan implikasi bantuan ini kepada kantung kewangan kerajaan negeri dianggarkan berjumlah RM39.15 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Rapat Rahmah Ramadan Menteri Besar Selangor Bersama Penjawat Awam Negeri Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Selangor, di sini hari ini. 

Menurut beliau, selain BKK, kerajaan negeri memperkenal Insentif Rahmah Ramadan Selangor yang dipecahkan kepada tiga kategori bayaran. 

Kata Amirudin, kategori pertama adalah bayaran RM1,000 kepada pemimpin masyarakat iaitu Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Pegawai Perhubungan Kampung Baru/Bagan/ Tersusun, Ketua Komuniti India, Setiausaha MPKK dan Penyelia Wanita Berdaya Selangor (WBS).

“(Kategori kedua pula) adalah bayaran RM500 kepada anggota Penggerak Belia Selangor (PeBs) yang mana insentif ini dibiayai kerajaan negeri.

“(Kategori terakhir pula) adalah bayaran RM500 kepada nazir, imam, siak dan bilal yang mana peruntukan ini diberikan oleh anak syarikat kerajaan negeri melalui program tanggungjawab sosial (CSR),” ujarnya. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN