Ahmad Zahid tidak pernah arah dana Yayasan Akalbudi diguna untuk tujuan peribadinya - Utusan Malaysia

Ahmad Zahid tidak pernah arah dana Yayasan Akalbudi diguna untuk tujuan peribadinya

AHMAD ZAHID HAMIDI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, beliau tidak pernah mengarahkan mana-mana pihak menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk tujuan peribadinya.

Bekas Timbalan Perdana Menteri sebaliknya berkata, beliau yang bertanggungjawab menanggung perbelanjaan badan amal itu sejak awal penubuhannya pada 1997.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sebahagian besar pendapatannya ketika berkhidmat dalam dunia korporat sekitar tahun 90-an, disalurkan untuk kegunaan yayasan itu bagi melaksanakan aktiviti kebajikan termasuk sedekah, infak, wakaf dan amal jariah.

Jelasnya, daripada pendapatan berjumlah RM120,000 sebulan (ketika itu) termasuk gaji, elaun dan bonus daripada lima buah syarikat, beliau hanya menggunakan kira-kira RM40,000 untuk kegunaan sendiri dan keluarga manakala selebihnya disalurkan ke dalam yayasan itu.

Beliau berkata, sewaktu berkhidmat dalam kerajaan, pendapatannya mencecah RM50,000 sebulan manakala simpanannya kini melebihi RM2 juta dalam akaun simpanan di Bank Islam.

Ahmad Zahid, 69, menyatakan demikian ketika membela diri terhadap 47 pertuduhan, 12 daripadanya membabitkan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.

Bekas Timbalan Perdana Menteri membacakan pernyataan bertulisnya ketika memberi keterangan dari kandang saksi pada hari pertama perbicaraan.

Prosiding pemeriksaan utama dikendalikan oleh peguam Datuk Ahmad Zaidi Zainal di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung Jumaat ini.

Ahmad Zahir selanjutnya berkata, peringkat awal penubuhannya, Yayasan Akalbudi turut mendapat dana daripada simpanan beliau hasil keuntungan pembelian dan penjualan saham ketika bergiat aktif dalam bidang korporat.

Dalam keterangannya, beliau pernah menyandang tugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kretam Holding Berhad di antara 1994 hingga 1998 dan mempunyai saham berjuta lot dengan pembiayaan Bank D&C (kini dikenali sebagai RHB Bank).

Menurut Ahmad Zahid, Yayasan Akalbudi turut mendapat sumbangan daripada rakan-rakannya yang merupakan tokoh-tokoh korporat termasuk Jeneral Tan Sri Mohamed Hashim Ali, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary, Tan Sri Halim Saad dan Tan Sri Ahmad Johan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, yayasan itu tidak pernah meminta sumbangan daripada mana-mana individu atau syarikat sebaliknya hanya mempromosi bahawa mereka boleh menyumbang dana kepada badan amal tersebut.

Ujarnya, antara sumbangan Yayasan Akalbudi khususnya di Bagan Datuk termasuk Ihya’ Ramadan untuk golongan fakir, asnaf, anak-anak yatim, penambahbaikan dan penambahan bangunan baharu Surau Kampung Parit 25 serta pembinaan Masjid Tuminah Hamidi.

Selain itu, antara projek yang dikendalikan Yayasan Akalbudi termasuk pembinaan Masjid Terapung Durian Daun Melaka, pembinaan rumah-rumah anak yatim dan maahad tahfiz, pembiayaan kos-kos kemasukan pelajar-pelajar berbilang kaum ke asrama setiap tahun.

Ujarnya, Yayasan Akalbudi turut terlibat dalam perbelanjaan tiket, hotel dan penyediaan makanan untuk anggota-anggota polis dan pasukan keselamatan yang terlibat ketika bencana pesawat MH17.

Dalam keterangannya, Ahmad Zahid turut memberitahu, beliau pernah diminta oleh Ahli-Ahli Lembaga Pengarah syarikat-syarikat yang tersenarai di BSKL untuk meletak jawatan termasuk sebagai Pengerusi BSN.

Beliau menjelaskan sebagai ahli politik dan menteri Kabinet, beliau tidak dibenarkan terlibat dalam dunia korporat.

Beliau turut menyatakan tidak pernah menjadi pengarah dalam mana-mana syarikat korporat semasa berkhidmat dengan kerajaan, sebaliknya masih boleh memegang saham-saham yang tersenarai dan tidak tersenarai.

Ahmad Zahid didakwa menggunakan dana Yayasan Akalbudi untuk membuat enam pembayaran bagi kad kredit persendirian, polisi insurans serta lesen kenderaan persendirian, kiriman wang kepada sebuah firma guaman dan sumbangan kepada persatuan bola sepak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesalahan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan itu didakwa dilakukan antara 13 Januari 2014 dan 11 Januari 2016.

Bagi lapan pertuduhan rasuah, Ahmad Zahid dituduh menerima suapan daripada tiga syarikat iaitu Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Data Sonic Group Berhad dan Profound Radiance Sdn. Bhd.

Suapan itu sebagai dorongan kepadanya atas kapasiti selaku Menteri Dalam Negeri pada ketika itu untuk membantu syarikat terbabit mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport serta menyediakan perkhidmatan pusat sehenti di Pakistan dan Nepal.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a) Akta SPRM 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali nilai suapan atau RM10,000 mana lebih tinggi, jika disabitkan kesalahan.

Ahmad Zahid juga berdepan 27 pertuduhan pengubahan wang haram dengan melibatkan diri dalam transaksi secara langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram antara 2016 dan 2018.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang boleh dipenjarakan sehingga 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mana lebih tinggi jika sabit kesalahan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya