KOTA BHARU: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) menggagalkan cubaan menyeleweng 20 tan baja subsidi selepas menahan dua buah lori dalam serbuan di hadapan Uptown Medan Warisan, Kuala Krai di sini pada Ahad lalu.
Dalam serbuan pukul 6.30 petang itu pasukan berkenaan turut menahan dua lelaki masing-masing berusia 31 tahun bagi membantu siasatan berkait dengan rampasan tersebut.
Ketua Polis negeri Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, hasil pemeriksaan yang dijalankan ke atas lori tersebut membawa kepada penemuan 20 tan baja bernilai RM400,000.
Menurutnya, semasa ditahan kedua-dua suspek gagal mengemukakan sebarang dokumen berkaitan muatan yang dibawa.
“Semua barangan rampasan kemudian dibawa pulang ke Markas Taktikal (Martak) Lubok Stol, Rantau Panjang.
“Kesemua barangan rampasan ini kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MUhamad Zaki memberitahu, kes disiasat di bawah mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.-UTUSAN











