Ahli sindiket pemerdagangan migran di Wang Kelian didakwa - Utusan Malaysia

Ahli sindiket pemerdagangan migran di Wang Kelian didakwa

SEORANG lelaki warga Thailand (tengah) yang dituduh menjalankan penyeludupan migran di Bukit Wang Burma, Wang Kelian pada 2014 hingga 2015 dibawa keluar dari Kompleks Mahkamah Kangar, Perlis hari ini. - UTUSAN/NUR NAZLINA NADZARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Seorang lelaki Thailand didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana terlibat aktiviti  penyeludupan migran di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara Ogos 2014 hingga Mac 2015.

Suchat Tohdin, 34, didakwa di hadapan Hakim Musyiri Peet, namun tiada pengakuan direkodkan.

Mengikut kertas pertuduhan, Suchat seorang peniaga kedai makan bersama isterinya iaitu warga tempatan dituduh menjalankan penyeludupan migran terhadap seorang warga Myanmar.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut pada pukul 5.30 petang di Bukit Wang Burma, Wang Kelian, Padang Besar antara Ogos 2014 hingga 10 Mac 2015.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 15 tahun dan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah tidak membenarkan ikat jamin dan menetapkan 21 April depan untuk sebutan semula kes serta diserahkan kepada Mahkamah Tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nordin Ismail, manakala Suchat diwakili peguam, Baharudin Baharim.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah D3 Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner (SAC), Fadil Marsus berkata, tertuduh ditangkap pada 26 Mac lalu di sebuah negeri di negara ini.

“Lelaki ini dipercayai sebagai ahli sindiket bagi kes membabitkan tiga kem di Bukit Wang Burma. Pihak Thailand juga telah menangkap empat lagi ahli sindiket dan kami dalam proses untuk ekstradisi keempat-empat suspek tersebut,” ujarnya.

Pada 2015, negara dikejutkan dengan penemuan kawasan perkuburan melibatkan mangsa pemerdagangan orang di Bukit Wang Burma.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya