31 laporan AEFI kematian susulan dos penggalak masih disiasat - Utusan Malaysia

31 laporan AEFI kematian susulan dos penggalak masih disiasat

Kementerian Kesihatan menerima 56 laporan AEFI melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak yang memerlukan penyiasatan dan penilaian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) menerima 56 laporan Kesan Advers Susulan Imunisasi (AEFI) melibatkan kematian dalam kalangan penerima vaksin dos penggalak yang memerlukan penyiasatan dan penilaian. 

Pengarah Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) Kementerian Kesihatan, Dr. Roshayati Mohamad Sani berkata, jumlah itu adalah sepanjang tempoh pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi dos penggalak (PICK-B) sehingga Jumaat lalu.

Menurut beliau, Jawatankuasa Khas Farmakovigilans Vaksin Covid-19 (JFK) mendapati 25 laporan yang telah lengkap penyiasatan tiada hubung kait dengan vaksin manakala bakinya, 31 laporan masih dalam proses penyiasatan.

“Bagi pelaporan AEFI, sebanyak 1,526 laporan bersamaan kadar 97 laporan bagi setiap sejuta dos yang juga adalah lebih rendah daripada kadar keseluruhan pelaporan AEFI, 377 bagi setiap sejuta dos. 

“Daripada jumlah laporan AEFI yang diterima bagi dos penggalak ini, hanya 131 laporan atau 8.6 peratus daripada jumlah laporan AEFI diterima bagi dos penggalak diklasifikasikan sebagai serius bersamaan kadar lapan laporan bagi setiap juta dos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Roshayati berkata, sehingga 1 April lalu, sebanyak 15,813,417 dos penggalak sudah diberikan dan melihat kepada laporan AEFI, ia mencatatkan kadar 97 laporan bagi setiap sejuta dos.

“Pemantauan laporan AEFI diterima NPRA setakat ini, trend dan kadar pelaporan AEFI yang melibatkan dos penggalak tidak menunjukkan sebarang peningkatan daripada apa yang dilihat semasa pemberian dos primer. 

“Trend pelaporan yang sama juga turut dilaporkan oleh negara lain yang telah menjalankan program imunisasi bagi dos penggalak vaksin Covid-19,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Roshayati berkata, sebanyak 68,924,040 dos vaksin telah diberikan terdiri daripada jenama Pfizer, Sinovac, AstraZeneca (AZ), CanSino dan Sinopharm sejak PICK dilaksanakan bermula 24 Februari 2021 

“Sebanyak 24,182 bersamaan 93 peratus laporan AEFI adalah bagi kes-kes yang tidak serius melibatkan demam, sakit pada tempat suntikan, sakit kepala, sakit otot dan keletihan.

“Semua kesan ini biasanya akan pulih dalam masa satu hingga dua hari,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN