97 individu leka berhibur dikompaun - Utusan Malaysia

97 individu leka berhibur dikompaun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Seramai 97 individu dikenakan kompaun serta 11 orang ditahan polis dalam serbuan Op Noda di sebuah pusat hiburan beroperasi tanpa lesen di Jalan Tun Razak dekat sini malam tadi.

Serbuan kira-kira 11.30 malam itu dijalankan sepasukan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, 10 warga asing melibatkan lapan lelaki dan dua wanita itu ditahan di bawah Seksyen 6(1)(C) Akta Imigresen dan Seksyen 55B Akta Imigresen.

Kata beliau, seorang lagi individu ditahan adalah warga tempatan yang merupakan penjaga premis kerana gagal mengemukakan lesen perniagaan yang sah.

“Selain itu, 97 individu lain turut dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 PPDPP Berjangkit (PPN) Fasa 4 2021.

“Dalam serbuan tersebut, polis membuat pemeriksaan dan mengeluarkan kompaun di bawah Peraturan 17(1) PPDPP Berjangkit 2021 terhadap 60 lelaki warga Malaysia dan 37 lagi wanita tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Ashari memaklumkan, polis turut merampas dua unit pembesar suara; dua televisyen; empat mikrofon, satu unit amplifier; dua unit mixer; satu tab, resit perniagaan dan wang tunai RM111.

Katanya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 1992.

Ashari turut menasihati orang ramai supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam memutuskan rantaian Covid-19.

“Pihak Polis Wangsa Maju memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah dan pelanggaran undang-undang melalui talian 03-92899222 atau mana-mana balai polit berdekatan,” jelas beliau. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN