JASIN: Atas keprihatinan melihat nasib penduduk yang hilang tempat tinggal, seorang pendakwah bebas di Kampung Serkam Darat di sini, Hairul Amin Madon, 48, membina lima unit rumah transit untuk asnaf atas tanah miliknya.
Kos pembinaan diperoleh daripada sumbangan beberapa individu, selain pendapatan ceramah agamanya yang dijalankannya di sekitar Melaka.
Katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Serkam Darat, projek itu bermula Ogos tahun lalu di atas tanah seluas 4,500 meter persegi dan kini empat unit sudah dihuni keluarga asnaf, manakala sebuah lagi dalam pembinaan.
Ujarnya, setiap rumah berkeluasan 183 meter persegi dengan dua bilik serta satu bilik air yang dibangunkan secara berperingkat dalam tempoh setahun setengah.
“Ilham membina rumah transit ini timbul selepas saya sering menerima aduan penduduk yang kehilangan tempat berteduh kerana bercerai, masalah keluarga dan bencana alam. Ada mangsa ribut yang saya tempatkan sebulan di rumah saya sendiri, malah pernah berlaku kes sekeluarga tidur dalam kereta kerana tidak ada rumah.
“Selain itu, ada ibu tunggal bersama anak orang kurang upaya (OKU) yang amat memerlukan perlindungan kerana rumah sewa mereka terlalu uzur,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Hairul Amin berkata, rumah transit itu terbuka untuk golongan asnaf dengan tempoh penginapan mengikut keperluan sehingga enam bulan.
“Syaratnya mudah, mereka mesti dalam kategori asnaf. Ada yang duduk percuma dalam tempoh singkat, ada juga sehingga enam bulan.
“Kos penyelenggaraan termasuk bil utiliti ditanggung Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan beberapa wakil rakyat turut membantu menyediakan kemudahan asas di rumah ini,” katanya. – UTUSAN










