PETALING JAYA: Bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa digesa tampil memberi penjelasan berhubung kemelut pengambilan tanah di Kampung Sungai Baru yang menimbulkan keresahan penduduk.
Ahli Majlis Penasihat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Annuar perlu bertanggungjawab kerana pewartaan Akta Pengambilan Tanah dibuat ketika beliau menerajui kementerian itu. Katanya, berdiam diri menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab, sementara aktivis pembangkang giat menyerang kerajaan Madani berhubung isu ini.
“Beliau perlu menjelaskan bagaimana Akta Pengambilan Tanah boleh diwartakan pada Jun 2021 sedangkan negara masih dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan Parlimen tidak bersidang.
Adalah pelik jika seorang menteri tidak mengetahui pewartaan tersebut sebagaimana dinyatakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim yang menuding jari kepada Ketua Setiausaha Negara (KSN),” katanya.
Syed Badli menegaskan, setiap tindakan eksekutif, termasuk pewartaan akta, pasti dilaporkan kepada menteri sebelum dibawa ke Kabinet.
“Bagaimana seorang menteri boleh berlepas tangan dengan menyalahkan eksekutif sedangkan mereka hanya melaksanakan arahan tanpa boleh melangkaui kuasa menteri,” katanya.
Pembangkang katanya, wajar berhenti mewujudkan naratif menyalahkan Kerajaan Madani kerana kemelut ini berpunca semasa Kerajaan Perikatan Nasional (PN) memerintah.
Semalam, Shahidan dilaporkan mendesak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat individu yang didakwa terlibat dalam isu berkenaan. Menurutnya, kuasa sebenar pengambilan tanah terletak di Pejabat Tanah dan Galian, Datuk Bandar Kuala Lumpur serta KSN, manakala menteri hanya berperanan sebagai pemudah cara. – UTUSAN










