JOHOR BAHRU: Cuaca panas merupakan alasan utama individu yang didapati tidak berpuasa dalam beberapa siri serbuan yang dijalankan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) sejak awal Ramadan lalu.
Ketua Pengarah Penguatkuasaan JAINJ, Dzulkafli Mohamed berkata, pihaknya telah mengeluarkan 97 notis kesalahan kepada mereka yang didapati tidak berpuasa sepanjang tempoh penguatkuasaan dijalankan.
Katanya, selain itu pihaknya turut mengeluarkan 23 notis kesalahan kepada pemilik kedai kerana menjual makanan dan minuman kepada individu tidak berpuasa.
“Sejak awal Ramadan ini, JAINJ telah menjalankan sejumlah 75 serbuan dalam siri Op Kesan ini yang bertujuan untuk membanteras perbuatan tidak menghormati bulan Ramadan. Antara perbuatan yang diambil tindakan dalam operasi ini termasuklah makan, minum dan juga menghisap rokok di kawasan awam dan mana-mana tempat terbuka.
“Rata-rata yang didapati tidak berpuasa berusia antara 20 hingga 50-an melibatkan warganegara Malaysia dan juga pekerja asing,” katanya selepas mengetuai Op Kesan yang diadakan di Tampoi dan Jalan Abdullah Tahir, di sini hari ini.
Tambah beliau, kesemua notis kesalahan yang dikeluarkan pihaknya dibuat mengikut Seksyen 15(a) dan Seksyen 15(b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1997 yang memperuntukkan hukuman denda RM1,000 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya.
Dzulkafli berkata, JAINJ dukacita kerana masih ramai individu Muslim yang tidak menghormati kemuliaan bulan Ramadan dengan makan dan minum di tempat awam secara terbuka.
“Walaupun enakmen ini telah dikuatkuasakan sejak 1997, masih lagi ramai yang ditahan. Sehubungan itu kami ingatkan kepada peniaga dan orang awam bahawa JAINJ komited untuk menguatkuasakan undang-undang ini,” jelasnya. – UTUSAN










