PETALING JAYA: Perkembangan pesat perkhidmatan e-hailing didakwa antara punca kira-kira 80,000 daripada 120,000 pemandu teksi di negara ini terpaksa ‘menggantung kunci’ dan mencari pekerjaan lain selepas tidak mampu bersaing.
Pada masa ini dianggarkan kira-kira 40,000 pemandu teksi yang masih meneruskan operasi walaupun terpaksa bersaing dengan e-hailing yang lebih menjadi pilihan orang ramai.
Malah, Gabungan Teksi Malaysia (GTSM) turut menyalahkan Kementerian Pengangkutan yang didakwa gagal mewujudkan ruang pasaran antara perkhidmatan teksi dan e-hailing.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Yang Dipertua GTSM, Kamarudin Mohd. Hussain berkata, walaupun negara sudah memasuki fasa endemik, industri perkhidmatan teksi terus bermasalah sekiranya isu ruang pasaran tidak diselesaikan.
Beliau berkata, daripada baki 40,000 pemandu teksi pada tahun ini, terdapat kira-kira 12,000 pemandu teksi masih menawarkan khidmat di Kuala Lumpur dan Selangor.
Beliau mendakwa, tindakan syarikat e-hailing menurunkan kadar tambang perjalanan menyebabkan pengusaha teksi sukar bersaing yang akhirnya menjejaskan pendapatan mereka.
“Walaupun dalam fasa endemik jumlah penumpang semakin baik, namun saya masih kecewa dengan kegagalan Kementerian Pengangkutan mewujudkan ruang tawaran antara teksi dan e-hailing.
“Dulu ada 120,000 pemandu teksi, namun disebabkan sudah gagal bertahan dalam tempoh dua tahun ini akibat Covid-19, ramai cari kerja lain. Jumlah sekarang tinggal kira-kira 40,000 pemandu teksi sahaja,” katanya ketika dihubungi di sini.
Menurut Kamarudin, kebanyakan pemandu teksi yang ‘menggantung kunci’ bekerja sebagai pengawal keselamatan, pekerja kilang atau berniaga secara kecil-kecilan.
Bagaimanapun, beliau percaya pengangkutan teksi tidak akan lenyap memandangkan sehingga kini belum ada negara yang perkhidmatannya berakhir terus.
Pada 2019, bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, daripada 43,000 pemandu teksi yang beroperasi ketika itu, hanya 10,000 pemandu yang menggunakan aplikasi e-hailing manakala yang lain meneruskan tawaran secara konvensional.
Malah, katanya, pemandu teksi yang menggunakan aplikasi e-hailing juga boleh mengambil penumpang menggunakan platform perhentian teksi.
Dalam pada itu, Kamarudin turut memberitahu akan bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang akan menyelesaikan kemelut mereka ini.
“Kami masih mengharapkan Perdana Menteri masuk campur dalam isu teksi dan e-hailing atau kami terpaksa bekerjasama dengan mana-mana parti politik yang memberikan perjanjian bertulis bagi selesaikan masalah kami,” ujarnya.
Ditanya mengapa pemandu teksi tidak beralih sebagai pemandu e-hailing, Kamarudin berkata, syarat kenderaan Grab yang kurang daripada lima tahun menyukarkan golongan tersebut untuk bertukar kepada e-hailing. – UTUSAN










