2,000 babi dari 19 ladang haram hilang: Kerajaan negeri ambil tindakan undang-undang - Utusan Malaysia

2,000 babi dari 19 ladang haram hilang: Kerajaan negeri ambil tindakan undang-undang

SEBUAH ladang babi yang ditutup dan dikawal pihak berkuasa susulan berlakunya jangkitan wabak ASF di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan akan mengambil tindakan undang-undang susulan insiden sebanyak 2,000 ekor babi di 19 buah ladang haram di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson yang hilang dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, kerajaan negeri khuatir kesemua yang dibawa keluar tanpa pengetahuan pihak berkuasa itu akan menimbulkan jangkitan wabak Demam Babi Afrika (ASF) ke negeri lain.

Menurut beliau, ini kerana kesemua haiwan berkenaan sebelum ini berada berhampiran dengan ladang babi yang dikesan dijangkiti dengan ASF.

Aminuddin berkata, pihaknya menggesa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) negeri untuk menyiasat dan membuat laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan undang-undang. Saya dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan dan meminta Exco yang terlibat untuk menyiasat serta membuat laporan polis.

“Ke mana mereka memindahkan babi tersebut dikhuatiri akan menyebabkan masalah di negeri lain. Sepatutnya mereka (pemilik ladang) tidak boleh memindahkan babi itu sehingga selesai pemeriksaan sampel sama ada babi berkenaan ada jangkitan atau tidak. Saya berharap pihak JPV lebih peka dan kes sama tidak lagi berulang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Sumbangan Hari Raya dari Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) dan Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) kepada golongan fakir miskin daerah Seremban di Dewan Dato’ Shahardin, Batu 8, Labu di sini hari ini.

AMINUDDIN Harun menyerahkan sumbangan Hari Raya Aidilfitri pada Program Penyerahan Sumbangan Hari Raya dari MAINS dan MBI kepada golongan fakir miskin daerah Seremban di Dewan Dato’ Shahardin, Batu 8, Labu, Seremban hari ini. – UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI

Semalam, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Bakri Sawir memaklumkan, sebanyak 2,000 ekor babi yang ditempatkan di 19 buah ladang haram di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut, Port Dickson yang berada berhampiran dengan ladang babi yang dikesan dijangkiti dengan ASF sebelum ini, dipercayai dibawa keluar oleh pemilik ladang.

Jelasnya, ladang ternakan babi tersebut kosong dan dipercayai dibawa keluar ke lokasi yang tidak diketahui tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Pada 9 April lalu, media melaporkan Negeri Sembilan mencatatkan kes jangkitan wabak ASF apabila ia sah dilaporkan di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini. Dua kes positif itu disahkan menjangkiti babi di sebuah ladang yang tidak berlesen dan dipercayai dibawa dari Perak.

Sebanyak 273 ekor babi yang dijangkiti wabak ASF di ladang di Kampung Baru Site A, Tanah Merah, Lukut di sini, dilupuskan pada 13 April lalu.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, Aminuddin memberitahu, seramai 4,629 orang fakir dan miskin di negeri ini menerima bantuan daripada pihak MAINS dan MBI sempena Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN