Penduduk Sri Perlis 2 perlu berhati-hati dengan pemaju

Penduduk Sri Perlis 2 perlu berhati-hati dengan pemaju

JOHARI Abdul Ghani menyampaikan sumbangan pada Program Santuni Madani Kementerian Perladangan dan Komoditi di Perumahan Awam Sri Perlis 2, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/ISKANDAR ISHAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Krisis pembangunan semula di Kampung Sungai Baru perlu dijadikan pengajaran kepada penduduk supaya lebih berhati-hati dalam menilai sebarang cadangan pembangunan daripada pemaju.

Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, penduduk Perumahan Awam Sri Perlis 2 yang kini berada dalam proses pembangunan juga diingatkan membuat pertimbangan teliti dan tidak mudah terpengaruh dengan tawaran pemaju.

Katanya, di kawasan Kuala Lumpur, ramai pemaju berminat terhadap pangsapuri lama kerana mereka membuat kiraan untung dan rugi sebelum melaksanakan sesuatu projek.

“Penduduk perlu bersatu hati serta membuat sebarang keputusan berdasarkan maklumat dan pertimbangan yang tepat supaya tidak berdepan kesan jangka panjang seperti dialami penduduk di Kampung Sungai Baru.

“Konflik besar berlaku akibat perbezaan pandangan dalam kalangan penduduk berhubung pembangunan sehingga menyusahkan penduduk yang terlibat.

“Sehingga kini, selepas lebih lapan tahun setengah, masih ramai penduduk belum menerima rumah seperti dijanjikan, malah sebahagian daripada mereka telah meninggal dunia,” katanya ketika ditemui pada Program Santuni Madani Kementerian Perladangan dan Komoditi di Perumahan Awam Sri Perlis 2 di sini, semalam.

Johari berkata, di kawasan Perumahan Awam Sri Perlis 2, penduduk memaklumkan mereka hidup dalam kebimbangan dan ketakutan berikutan pelbagai khabar angin mengenai kemungkinan dipindahkan akibat kehadiran pemaju yang berminat membangunkan semula kawasan tersebut.

Katanya, penduduk tidak jelas ke mana mereka akan dipindahkan, sejauh mana jarak dari sekolah anak-anak serta sama ada mereka perlu menggunakan pengangkutan awam, sedangkan ketika ini segala kemudahan berada berhampiran, sekali gus menyebabkan berasa tidak tenteram.

“Setiap pemaju yang datang jumpa saya, saya tengok ini semua ‘cap ayam’. Pengalaman di Kampung Sungai Baru perlu dijadikan iktibar kepada pemaju yang ingin membangunkan kawasan serta penduduk, atas alasan pembangunan semula memandangkan projek berkenaan masih belum disiapkan walaupun telah melebihi lapan tahun setengah.

“Baru-baru ini, saya dimaklumkan pemaju yang sebelum ini meyakinkan penduduk untuk berpindah telah menjual sahamnya kepada pihak lain, sedangkan dia lah yang memberi jaminan kepada masyarakat lapan tahun lalu untuk membangunkan kawasan tersebut,” katanya.

Mengulas mengenai Perumahan Awam Sri Perlis 2, Johari berkata, situasinya hampir sama, namun beliau memberi jaminan kawasan berkenaan berada di bawah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan semua faktor yang dibangkitkan penduduk akan diambil kira.

Menurutnya, perbincangan lanjut akan dilakukan bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) memandangkan rancangan pembangunan kawasan itu sudah lama wujud dan melibatkan beberapa pemaju sebelum ini.

“Sri Perlis 2 bukan skim jual beli sebaliknya perumahan awam, di mana penduduk merupakan penyewa kepada DBKL dan projek berkenaan dibina bagi membantu golongan B40 tinggal berhampiran tempat kerja di bandar,” katanya.

Katanya, buat masa ini status kawasan berkenaan kekal kerana tiada tarikh khusus dan sekiranya terdapat pemaju yang berminat, sebarang cadangan perlu dibincangkan bersama DBKL, Jabatan Wilayah Persekutuan dan pihaknya sebagai wakil rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN