PETALING JAYA: Malaysia telah meminta penugasan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT) yang diketuai oleh Panglima Angkatan Tentera Malaysia untuk memantau situasi di lapangan, bagi menyokong usaha meredakan ketegangan dan meningkatkan ketelusan di sempadan Thailand dan Kemboja.
Selaku Pengerusi ASEAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, misi itu turut disokong oleh pemantauan satelit yang disediakan oleh Kerajaan Amerika Syarikat (AS), bermula pada pukul 10 malam, semalam.
“Dapatan pemantauan lapangan dan satelit ini akan dikumpulkan oleh AOT dan dibentangkan pada Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN yang dijadualkan berlangsung pada 16 Disember ini.
“Laporan tersebut akan memberikan gambaran objektif mengenai situasi semasa, termasuk kedudukan kedua-dua pihak, demi kepentingan akauntabiliti, pembinaan keyakinan serta pemeliharaan keamanan dan kestabilan serantau,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook.
Perkembangan terkini itu selepas Anwar mengadakan perbualan telefon secara berasingan dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, semalam.
Dalam perbincangan tersebut, Anwar menyuarakan kebimbangan serius Malaysia serta menggesa kedua-dua pihak agar menghentikan segala bentuk permusuhan dan tidak melakukan sebarang tindakan ketenteraan lanjut, termasuk penggunaan kekerasan atau menggerakkan pasukan bersenjata ke barisan hadapan, berkuat kuasa waktu sama.
“Malaysia kekal fokus untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan komuniti antarabangsa bagi memastikan dialog, sikap bertenang dan diplomasi terus menjadi landasan utama,” katanya.
Sebelum itu, Anwar menerima panggilan daripada Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mahu berbincang berkenaan konflik Kemboja dan Thailand, selain hubungan dua hala serta isu global yang menjadi kepentingan bersama.
Anwar menjelaskan peranan Malaysia yang menggesa kedua-dua negara agar bertenang dan kembali ke meja rundingan melalui dialog serta mekanisme dua hala serta ASEAN.
Katanya, Malaysia bersedia membantu usaha meredakan keadaan, melindungi orang awam dan memulihkan kestabilan serantau, selaras dengan semangat kejiranan baik ASEAN.
Susulan itu, Trump memaklumkan pemimpin Thailand dan Kemboja bersetuju untuk memperbaharui gencatan senjata selepas beberapa hari pertempuran berdarah mengancam untuk menggagalkan perjanjian damai yang diusahakan Washington.
Trump mengumumkan persetujuan untuk menyambung semula gencatan senjata itu menerusi hantaran dalam media sosial selepas mengadakan perbualan telefon dengan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet.
“Mereka bersetuju untuk menghentikan semua serangan berkuat kuasa (malam) Jumaat lalu, dan kembali ke Perjanjian Damai asal yang dibuat bersama saya, dengan bantuan hebat Perdana Menteri, Anwar Ibrahim,” katanya.
Trump berkata, kebijaksanaan dan kepemimpinan Anwar memainkan peranan penting dalam membantu beliau meyakinkan Thailand dan Kemboja agar kembali bersetuju menghentikan pertempuran.
“Ia satu penghormatan bagi saya untuk bekerjasama dengan Anutin dan Hun dalam menyelesaikan konflik yang berpotensi berkembang menjadi perang besar antara dua negara yang indah dan makmur,” katanya.
Gencatan senjata yang dicapai pada Julai lalu dirundingkan oleh Malaysia dan dimuktamadkan pada Sidang Kemuncak ASEAN di Kuala Lumpur pada Oktober, hasil tekanan termasuk ancaman penarikan keistimewaan perdagangan oleh Trump.
Namun, walaupun perjanjian dicapai, perang propaganda dan insiden keganasan kecil di sempadan kedua-dua negara masih berterusan.
Konflik Thailand-Kemboja berpunca daripada tuntutan wilayah bertindih sejak era kolonial Perancis, yang semakin meruncing selepas keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 1962 memihak kepada Kemboja. – UTUSAN










