fbpx

12 tahun beraya di rumah orang tua, Pak Man Anggap balasan Allah

ABD. Ruahman Talib merenung nasibnya di luar jendela biliknya di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Padang Besar, Perlis. - UTUSAN/SYED AZLAN SAYID HIZAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Ketika rakan seusianya menyambut Ramadan dan Aidilfitri bersama ahli keluarga, berbeza dengan Abd. Ruahman Talib, 70, yang sudah 12 tahun meraikan lebaran di rumah perlindungan orang tua.

Dia yang menetap di Rumah Sejahtera Batu Bertangkup di sini sejak Januari 2010, mengakui tetap merindui suasana berhari raya bersama insan tersayang.

Peredaran masa membuatkan bapa kepada dua anak itu kini sudah biasa menyambut hari raya dalam suasana serba sederhana di pusat perlindungan tersebut.

Abd. Ruahman berkata, hidupnya di pusat jagaan itu bermula selepas rumahnya di Kampung Belat Batu diambil Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi projek pembinaan landasan kereta api berkembar.

Katanya yang mesra disapa sebagai Pak Man, selepas itu, dia menumpang di rumah anak lelakinya namun hanya dalam tempoh dua bulan sebelum dihalau keluar menyebabkan dia tidak ada arah tujuan sekitar 2010.

Jelasnya, selepas menempuh pelbagai dugaan dalam tempoh tersebut termasuk dirawat di hospital disebabkan masalah jantung, dia diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang membawanya ke Rumah Sejahtera Batu Bertangkup selepas mendapat tahu kisahnya melalui akhbar ketika itu.

“Saya menganggap kisah hidup saya ini umpama roda berputar kerana ibu saya juga pernah menghuni tempat sama (rumah perlindungan orang tua) ini sebelum menghembuskan nafas terakhir di Rumah Sejahtera Tun Dr. Hasmah, Jejawi.

“Apa yang berlaku mungkin balasan Allah SWT kerana ibu saya juga pernah tinggal di rumah orang tua selepas wanita tersebut dihalau bekas isteri.

“Ketika itu, saya ke laut selama seminggu dan apabila pulang ke rumah diberitahu bahawa ibu telah tinggal di sini (Rumah Sejahtera Batu Bertangkup) selepas dihalau bekas isteri dari rumah kami di Belat Batu.

“Saya terus datang untuk mengambil ibu pulang ketika itu, namun ibu enggan kerana patah hati dengan tindakan bekas isteri walaupun telah berkali-kali dipujuk dan dirayu,” katanya Utusan Malaysia di sini semalam.

Abd. Ruahman yang turut menghidap pelbagai masalah kesihatan berkata, dia tidak kisah berkongsi kisah hidupnya itu agar menjadi iktibar dan pedoman kepada masyarakat.

“Kepada orang ramai, saya minta jagalah keselamatan ibu dan ayah semasa masih hidup dan janganlah sesekali abaikan kedua-dua orang tua kita. Jika tiada mereka, tiadalah kita di dunia ini, ingatlah pesanan ini,” katanya.

Sementara itu, katanya, selepas 12 tahun, dia sudah membiasakan diri beraya bersama penduduk kampung, kariah masjid dan rakan-rakan yang tinggal di pusat perlindungan tersebut.

“Anak perempuan saya juga sering datang bersama suaminya apabila mendengar berita saya tidak sihat namun anak lelaki saya sekalipun tidak pernah datang menjenguk. Anak perempuan saya mahu menjaga saya, namun saya tidak mahu menyusahkan dia,” katanya. – UTUSAN

 

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI