JOHOR BAHRU: Seramai 114 individu termasuk pekerja premis hiburan dikenakan kompaun keseluruhan RM114,000 susulan pemeriksaan yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Taman Sri Tebrau, di sini, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, dalam pemeriksaan itu, polis menahan seramai 86 lelaki dan 27 wanita tempatan yang merupakan pelanggan di premis berkenaan.
Katanya, polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun yang mengaku sebagai pekerja di premis berkenaan ketika pemeriksaan dilakukan sepasukan pegawai kanan dan anggota polis Cawangan D7 Bahagian Siasatan Jenayah.
“Bertindak di atas maklumat, pada pukul 1.15 pagi, sepasukan polis dibantu anggota unit ronda sektor balai polis Taman Pelangi Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan melakukan pemeriksaan di premis berkenaan.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, polis mendapati premis tersebut telah gagal mengemukakan lesen hiburan awam dan lesen perniagaan yang sah serta telah melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (Fasa Peralihan Endemik) untuk pusat hiburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam serbuan tersebut, polis turut merampas sebuah komputer riba, mixer jenama Yamaha, mikrofon, tiga helai resit perniagaan serta sebuah pendrive jenama Toshiba.
Raub berkata, kesemua 114 individu itu dikenakan kompaun di bawah Peraturan 17 Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021 dengan setiap seorang dikenakan kompaun RM1,000.
Katanya, kes turut disiasat di bawah Seksyen 107 Akta Kerajaan Tempatan 1976, Seksyen 6(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan Johor.
“Orang ramai dinasihatkan mematuhi SOP Pelan Pemulihan Negara yang ditetapkan dan sekiranya terdapat pelanggaran yang dilakukan, tindakan tegas akan diambil.
“Sesiapa yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah dinasihatkan untuk menyalurkan maklumat tersebut kepada pihak polis di talian hotline 07-2182323 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya. – UTUSAN










